Fiuu raih lesen pemeroleh langsung JCB serantau - Utusan Malaysia

Fiuu raih lesen pemeroleh langsung JCB serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform teknologi kewangan (fintech) Asia Tenggara, Fiuu, terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri pembayaran digital apabila memperoleh lesen Pemeroleh Langsung JCB sebagai Pemeroleh Serantau bagi Malaysia, Singapura dan Filipina.

Pencapaian itu membolehkan Fiuu berhubung secara terus dengan rangkaian pembayaran JCB serta memproses transaksi secara dalaman tanpa bergantung kepada pihak perantara, sekali gus meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan kelajuan penyelesaian pembayaran kepada peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Fiuu, Eng Sheng Guan berkata, kerjasama itu menandakan fasa baharu dalam strategi pertumbuhan pemerolehan pembayaran serantau syarikat.

Katanya, perniagaan yang berkembang di Asia Tenggara memerlukan rakan pembayaran yang bukan sahaja mempunyai hubungan terus dengan rangkaian pembayaran global, malah memahami keperluan pasaran tempatan.

“Kerjasama pemerolehan langsung bersama JCB memperkukuhkan asas tersebut, membolehkan kami membantu peniaga dengan liputan penerimaan pembayaran yang lebih luas, pengalaman transaksi yang lebih konsisten serta keyakinan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam ekosistem perdagangan digital dan fizikal,” katanya dalam kenyataan. 

Melalui lesen berkenaan, Fiuu memperoleh kawalan lebih menyeluruh terhadap pemprosesan transaksi, operasi penyelesaian pembayaran dan prestasi perkhidmatan kepada peniaga, sekali gus menyokong penyelesaian pembayaran yang lebih pantas serta ketelusan transaksi yang lebih tinggi.

Pada tahun kewangan 2025, Fiuu merekodkan jumlah nilai pembayaran (TPV) sebanyak AS$13 bilion, mencerminkan keupayaannya mengendalikan transaksi pembayaran digital berskala besar merentasi pelbagai sektor perniagaan di rantau ini.

Dalam pada itu, ujar beliau, pertumbuhan pesat  perdagangan digital di Asia Tenggara terus didorong peningkatan penggunaan transaksi tanpa tunai, dengan lebih 60 peratus pembayaran kini dilakukan secara digital, manakala tiga daripada lima pengguna membeli-belah secara dalam talian.

“Walaupun penggunaan kod QR dan dompet digital semakin meluas, kad kredit kekal memainkan peranan penting disebabkan tabiat pengguna serta ekosistem ganjaran yang kukuh, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap infrastruktur penerimaan kad yang lebih mantap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan JCB International Asia Pacific Pte. Ltd., Shimpei Yamaguchi berkata, kerjasama dengan Fiuu dijangka memperluaskan lagi penerimaan kad JCB dalam kalangan peniaga di Malaysia, Singapura dan Filipina.

“Kepakaran serantau Fiuu, rangkaian peniaga yang semakin berkembang serta keupayaan pembayaran pelbagai saluran menjadikan syarikat itu rakan strategik penting bagi memperkukuh ekosistem pembayaran JCB di Asia Tenggara,” katanya.

Setakat 2026, JCB mempunyai 181 juta kad yang dikeluarkan di seluruh dunia dengan penerimaan di lebih 72 juta lokasi peniaga.

Dalam usaha memperluaskan operasi, Fiuu kini merancang mengembangkan keupayaan pemerolehan langsung ke Thailand, sejajar strategi syarikat untuk muncul sebagai antara pemeroleh rangkaian kad serantau terkemuka di Asia Tenggara.

Langkah itu dijangka mengukuhkan lagi keupayaan Fiuu menawarkan penyelesaian pembayaran yang selamat, cekap dan boleh diskalakan kepada perniagaan yang beroperasi di rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN