PETALING JAYA: Tekanan kos yang semakin meningkat dijangka menjadi cabaran utama kepada syarikat-syarikat sektor pengguna pada separuh kedua 2026, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan walaupun permintaan pengguna masih kekal berdaya tahan.
BIMB Securities berkata, inflasi kos dijangka menjadi tema utama bagi sektor itu pada bulan-bulan mendatang, didorong terutamanya oleh peningkatan kos berkaitan tenaga susulan konflik berpanjangan di Asia Barat yang memberi kesan kepada kos logistik, pembungkusan dan bahan mentah.
“BIMB Securities menjangkakan tekanan kos akan terus meningkat pada separuh kedua tahun ini, terutamanya apabila kos input yang lebih tinggi mula diiktiraf menerusi pelarasan inventori dan kelewatan mekanisme pemindahan kos kepada pengguna.
“Walaupun kesannya tidak seragam antara syarikat, keupayaan mengekalkan margin keuntungan akan semakin bergantung kepada kuasa penetapan harga serta keupayaan syarikat menguruskan kenaikan kos,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma pembrokeran berkata, di peringkat syarikat, Farm Fresh dan Spritzer dijangka berdepan tekanan akibat peningkatan kos pembungkusan dan resin, manakala Padini masih terdedah kepada kos pengangkutan, buruh dan perbelanjaan berkaitan cukai yang lebih tinggi.
Jelasnya, pengeluar produk tenusu seperti Dutch Lady terus berhadapan kos bahan mentah yang tinggi berikutan ketidaktentuan harga input global.
“Bagi Spritzer, pertumbuhan keuntungan dijangka sederhana pada separuh kedua 2026 apabila inventori yang diperoleh pada kos lebih tinggi mula direkodkan dalam penyata kewangan.
“Namun, pelarasan harga jualan dan pertumbuhan volum dijangka membantu mengurangkan sebahagian tekanan tersebut.
“Sebaliknya, MR DIY dijangka kekal lebih berdaya tahan hasil pengurusan kos yang berdisiplin, walaupun mempunyai fleksibiliti terhad untuk menaikkan harga kerana model harga tetap yang diamalkan,” ujarnya.
Sementara itu, AEON pula dilihat lebih sensitif terhadap tekanan kos memandangkan margin operasinya yang sememangnya tipis serta keupayaan yang lebih terhad untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna.
“Secara keseluruhannya, tekanan kos dijangka memberi kesan meluas kepada sektor ini, dengan prestasi margin berbeza mengikut kekuatan kuasa harga dan keupayaan setiap syarikat memindahkan kos kepada pelanggan,” jelasnya.
Tambahnya, BIMB Securities mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor pengguna kerana sektor ini sedang memasuki fasa kitaran penurunan yang didorong oleh penyusutan margin keuntungan, walaupun asas permintaan pengguna masih kekal berdaya tahan.
“Tumpuan pelabur kini dijangka beralih daripada pertumbuhan pendapatan kepada aspek disiplin pengurusan kos dan kekuatan kuasa penetapan harga syarikat.
“Pelabur juga perlu mengambil perhatian bahawa penyusutan margin sektor berpotensi memberi tekanan kepada nisbah pembayaran dividen,” katanya.
Oleh itu, BIMB Securities menasihatkan pelabur supaya memantau hasil aliran tunai bebas selain hanya melihat hasil dividen bagi menilai kemampanan pembayaran dividen syarikat. – UTUSAN








