Syarikat tempatan disaran sedia ekosistem data sebelum laksana AI

Syarikat tempatan disaran sedia ekosistem data sebelum laksana AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA perlu mempercepat penstrukturan semula tadbir urus data dan kesediaan platform dalaman bagi memastikan syarikat tempatan kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran ekonomi, pelaburan digital dan ketidaktentuan pasaran operasi serantau.

Dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar, negara tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada kaedah pengurusan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu bergerak ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi yang menggabungkan automasi dan keselamatan data.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, syarikat tempatan mempunyai potensi besar untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI), namun cabaran utama ketika ini ialah kesediaan ekosistem data untuk menyokong industri tersebut.

Katanya, pembangunan tadbir urus data perlu dijadikan antara agenda utama organisasi kerana isu ketidakcekapan sistem dan kos integrasi akan menjadi cabaran ekonomi paling kritikal pada masa depan.

“Syarikat tempatan perlu bergerak ke arah kesediaan platform dan tadbir urus data kerana masa depan pelaburan bukan lagi hanya tertumpu kepada pembelian perisian semata-mata.

“Kita sudah ada dasar berkaitan pembiayaan latihan dan pendigitalan, tetapi dalam masa sama kita juga perlu memperkukuh keupayaan sistem dan platform dalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas sesi Meja Bulat Media: Kesan AI pada Margin Runcit & Tekanan Kos baru-baru ini. 

Tambah beliau, antara cabaran terbesar ketika ini ialah kekurangan kesediaan struktur data dalam organisasi walaupun bidang automasi tersebut mempunyai potensi penjimatan yang besar.

“Kita sebenarnya mempunyai peluang besar dalam integrasi AI, tetapi masalah utama ialah kita gagal menyediakan platform data yang betul sebelum sistem itu dilaksanakan.

“Ramai pihak pengurusan masih melihat AI boleh dimasukkan secara tergesa-gesa sedangkan tanpa data yang sedia, mesin tidak mampu memecahkan unjuran kewangan jika berlaku ralat,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia juga perlu memperkukuh pembiayaan pakej latihan bakat digital dengan penyedia kursus bagi mempercepat pembangunan sektor tersebut.

Katanya, usaha itu penting supaya tenaga kerja tempatan tidak terus ketinggalan dalam kemahiran teknologi canggih dan kepakaran asing dalam jangka panjang.

“Pembiayaan latihan perlu diperkasakan supaya Malaysia dapat meningkatkan status tenaga kerja daripada sekadar sedar AI kepada sedia AI dan pakar.

“Jurang kesediaan antara bakat dan syarikat yang semakin ketara juga akan memberi kesan besar kepada sektor perniagaan jika organisasi tidak bersedia dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata, ketidaksediaan syarikat untuk menyediakan ekosistem digital yang progresif akan memberi tekanan kepada rantaian bakat, produktiviti dan kos operasi sekali gus memberi kesan langsung kepada pasaran kerja negara.

“Kita sudah mula melihat penunjuk penting di mana sebanyak 64 peratus atau dua daripada tiga bakat enggan bekerja di organisasi yang ketinggalan dalam aspek teknologi.

“Kalau isu kesediaan digital syarikat tidak ditangani lebih awal, tekanan kepada pengekalan bakat-bakat terbaik dalam industri akan menjadi lebih besar,” katanya.

Tambahnya, pasaran tempatan sebenarnya mempunyai kelebihan besar dari segi lambakan penyedia latihan dan persaingan harga kursus yang boleh dimanfaatkan secara bersama oleh industri.

Katanya, pengenalan Pakej Asas pembiayaan latihan mampu membantu syarikat memacu kemahiran digital tenaga kerja dengan kos yang jauh lebih kompetitif.

“Pasaran latihan AI mempunyai kekuatan dari segi kebolehcapaian kursus pendek jangka masa pendek yang kompak dan kerap.

“Yuran kursus asas juga runtuh menjadi sangat murah sehingga RM300 ekoran perang harga penyedia latihan dan ini boleh membantu menstabilkan kos pembangunan bakat,” tambahnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Xilnex Holdings Berhad, Ooi Boon Sheng berkata, syarikat perlu menggunakan peluang transformasi ini untuk memperkukuh keupayaan kakitangan sedia ada sambil mempercepat pembangunan modul secara berperingkat.

“Syarikat tidak boleh terlalu bergantung kepada kaedah pemberhentian kerja sahaja. Kita perlu ada keseimbangan antara teknologi, pemerkasaan tenaga kerja dan pembangunan operasi mampan.

“Jika sektor automasi dilaksanakan secara modular dan bersegmen dari sekarang, syarikat bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti dalam tempoh dua tahun akan datang, malah boleh menjadi pemain industri yang lebih cekap dan tahan krisis pada masa depan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN