Sektor pembuatan rekod jualan RM175 bilion pada April - Utusan Malaysia

Sektor pembuatan rekod jualan RM175 bilion pada April

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembuatan mencatatkan nilai jualan RM175 bilion pada April lalu, tumbuh 9.1 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mac.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan nilai jualan dalam sektor pembuatan disumbangkan terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik, meningkat 13.4 peratus pada April 2026 berbanding 13.3 peratus pada Mac 2026.

“Selain itu, pertumbuhan ini turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau dan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik, yang masing- masing meningkat sebanyak 9.0 peratus berbanding 7.8 peratus pada Mac dan 4.4 peratus berbanding 5.1 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Perbandingan bagi bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 1.1 peratus, dari RM173.1 bilion yang direkodkan pada Mac 2026. 

“Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.6 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 9.6 peratus pada April berbanding 6.5 peratus pada Mac,” katanya dalam kenyataan. 

Prestasi ini ditunjangi oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal pada 15.0 peratus berbanding 15.2 peratus pada Mac.

Selain itu, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan juga mencatatkan kenaikan 11 peratus berbanding 10.2 peratus pada Mac, sementara pembuatan kok dan produk petroleum bertapis tumbuh 5.3 peratus berbanding 2.8 peratus pada Mac.

“Walau bagaimanapun, nilai jualan industri berorientasikan eksport menyusut 0.5 peratus berbanding pada bulan sebelumnya.

“Pada masa sama, industri berorientasikan domestik meningkat 7.8 peratus pada April, selepas mencatatkan 2.5 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Prestasi ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam pembuatan produk pemprosesan makanan sebanyak 5.8 peratus pada April berbanding 5.0 peratus pada Mac, serta dalam pembuatan produk galian bukan logam lain 8.8 peratus dan pembuatan logam asas 6.4 peratus,” katanya.

Di samping itu, industri berorientasikan domestik mengembang 5.1 peratus, berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd. Uzir berkata, sejumlah 2.4 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada April, bertambah sebanyak 1.2 peratus berbanding 1.1 peratus pada Mac.

“Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau 2.2 peratus diikuti dengan pertumbuhan susbektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka 1.7 peratus dan subsektor peralatan elektrik dan elektronik 1.5 peratus,” katanya.

Sementara itu, bilangan pekerja dalam sektor ini melonjak 0.7 peratus bagi perbandingan bulan ke bulan.

Seiring dengan itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 3.1 peratus berbanding 2.2 peratus pada Mac 2026, berjumlah RM8.56 bilion pada April.

Berbanding jumlah yang direkodkan pada bulan sebelumnya, gaji dan  upah yang dibayar meningkat 0.1 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN