Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.12 minggu ini - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.12 minggu ini

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.05 hingga RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang minggu ini, dipengaruhi oleh perkembangan dasar monetari global, aliran pelaburan asing serta sentimen pasaran mata wang antarabangsa.

Pada pukul 8 pagi semalam, mata wang tempatan menurun kepada 4.0470/0520 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0320 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ringgit kemudian menyusut kepada 4.0700/4.0740 sedolar AS pada akhir dagangan semalam.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, paras RM4.15 dilihat sebagai sokongan utama berdasarkan rekod campur tangan pasaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun lalu.

“Sekiranya paras tersebut ditembusi, ringgit berpotensi menyusut dengan lebih pantas ke sekitar RM4.20.

“Selain itu, paras RM4.00 kekal sebagai rintangan psikologi penting. Ringgit dijangka memerlukan pemangkin yang lebih kukuh untuk menembusi paras tersebut dan bergerak ke sekitar RM3.98.

“Ia antaranya melalui pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Julai serta pemulihan harga minyak mentah ke sekitar AS$80 (RM325.62) setong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengukuhan indeks dolar AS (DXY) melepasi paras 108 berpotensi memberi tekanan kepada mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit, sekali gus mendorong kadar pertukaran menghampiri RM4.12.

“Pada masa sama, sebarang pengumuman tarif baharu oleh AS, khususnya melibatkan barangan elektrik dari Malaysia, boleh menjejaskan prospek eksport negara dan memberi kesan negatif terhadap sentimen pelabur,” katanya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, dari sudut domestik, beberapa faktor dijangka terus menyokong prestasi ringgit.

Beliau berkata, antaranya ialah jangkaan BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.0 peratus dalam mesyuarat dasar monetari minggu ini.

“Perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS yang masih berada sekitar 1.75 mata peratusan dilihat mengekalkan daya tarikan ringgit dalam aktiviti “carry trade”.

“Selain itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh turut memberikan sokongan kepada mata wang tempatan.

“Data suku pertama 2026 menunjukkan Malaysia merekodkan FDI berjumlah RM42 bilion, manakala pelaksanaan projek berteknologi tinggi.

“Ia termasuk pelaburan syarikat semikonduktor utama di Kulim dijangka meningkatkan permintaan terhadap ringgit apabila aktiviti perbelanjaan projek dipercepatkan,” katanya

Tambahnya, rizab antarabangsa BNM yang dianggarkan sekitar AS$115 bilion (RM468.11 bilion) pada Mei lalu juga dilihat menyediakan ruang yang mencukupi bagi pihak bank pusat untuk mengurus turun naik pasaran sekiranya diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN