Pasaran saham Malaysia tidak konsisten ketika PRU

Pasaran saham Malaysia tidak konsisten ketika PRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia secara sejarahnya mencatatkan prestasi yang tidak konsisten sepanjang tempoh pilihan raya umum, sekali gus menunjukkan bahawa faktor politik semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan hala tuju ekuiti negara.

Menurut laporan terbaharu MBSB Research bertajuk Market and Elections: Statistical Analysis of Past Market Performance Amid General Elections, hanya kira-kira 47 peratus daripada pemerhatian berkaitan pilihan raya menunjukkan prestasi keseluruhan pasaran yang positif.

Firma penyelidikan berkata, walaupun pilihan raya mampu mencetuskan sentimen sementara dalam kalangan pelabur, faktor ekonomi domestik dan luaran kekal menjadi pemacu utama prestasi Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, kajian berkenaan mendapati pasaran sering menghampiri paras puncak sebelum hari pengundian, mencerminkan potensi kewujudan sentimen optimistik jangka pendek serta aktiviti pembelian bersifat spekulatif menjelang pilihan raya,” katanya dalam nota penyelidikan.

Analisis itu dibuat ketika peserta pasaran semakin aktif berspekulasi mengenai masa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan implikasinya terhadap sentimen pelabur.

MBSB Research berkata, pilihan raya mengejut secara sejarahnya lebih lazim berlaku di Malaysia berbanding kerajaan yang menamatkan penggal pentadbiran penuh.

“Daripada 14 penggal Parlimen sebelum pentadbiran semasa, hanya tiga penggal bertahan hampir sehingga tamat tempoh penuh, menjadikan kira-kira 79 peratus pilihan raya umum diadakan lebih awal daripada jadual asal.

“Pembubaran Parlimen paling awal direkodkan sebelum PRU keempat apabila ia diadakan 19 bulan lebih awal daripada tamat tempoh penggal, manakala PRU kedua dipanggil enam bulan sebelum berakhirnya Parlimen pertama.

“Secara purata, tempoh hayat Parlimen Malaysia direkodkan sekitar empat tahun dan dua bulan,” katanya.

Menurut laporan tersebut, corak dagangan sejarah tidak menunjukkan trend kukuh bahawa pasaran sentiasa mencatatkan prestasi lebih baik menjelang hari pengundian.

“Prestasi positif dan negatif pasaran dilihat hampir seimbang sepanjang tempoh pemerhatian yang dikaji,” katanya. 

MBSB Research berkata, tempoh lebih dekat dengan hari pengundian, khususnya dalam jangka masa tiga bulan, sebulan dan dua minggu, lebih relevan untuk menilai tingkah laku pelabur kerana spekulasi pembubaran Parlimen biasanya menjadi semakin rancak apabila pilihan raya semakin hampir.

Firma penyelidikan berkata, data sejarah semata-mata tidak membuktikan pilihan raya sebagai pemangkin utama pasaran ekuiti kerana keadaan ekonomi global lazimnya memberi kesan lebih besar berbanding perkembangan politik domestik.

“Sebagai contoh, sentimen pasaran menjelang PRU ke-15 pada 2022 lebih banyak dipengaruhi oleh kenaikan agresif kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat berbanding faktor politik tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, satu lagi penemuan penting kajian itu ialah pasaran kerap mencapai paras tertinggi ketika tahun pilihan raya, namun MBSB Research mengingatkan berkata, keadaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti hubungan langsung antara pilihan raya dan kenaikan pasaran.

Sebaliknya, laporan itu mencadangkan bahawa pilihan raya mungkin berlaku serentak dengan tempoh sentimen pasaran yang lebih kukuh tanpa semestinya menjadi pencetus utama kenaikan tersebut.

“Buat masa ini, kami percaya perkembangan global akan terus mempengaruhi prospek pasaran saham Malaysia, khususnya ketegangan geopolitik di Asia Barat serta kesannya terhadap harga tenaga, gangguan rantaian penghantaran dan selera risiko pelabur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN