PETALING JAYA: Myra, segmen residensi Oriental Interest Berhad (OIB) bekerjasama dengan Unity Kitchen untuk menawarkan pakej kabinet dapur yang direka khas bagi setiap unit pasaran terbuka di Myra Senja di Subang 2, di sini.
Kerjasama itu adalah bagi mempertingkatkan pengalaman pemilikan rumah, terutamanya dalam kalangan pembeli rumah kali pertama dengan mengurangkan keperluan pengubahsuaian selepas pembelian serta memudahkan proses peralihan ke rumah baharu dengan lebih lancar.
Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, Akil Hassan berkata, syarikatnya berpegang kepada falsafah yang mengutamakan pemilik rumah perlu melangkaui proses pembelian semata-mata, dengan pemaju memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu pembeli menyesuaikan diri dengan kediaman baharu mereka.
Ujarnya, menerima kunci rumah sepatutnya menjadi permulaan untuk menikmati kediaman baharu namun bagi ramai pemilik rumah, ruang penting seperti dapur masih memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian yang memakan masa dan kos sebelum benar-benar sedia digunakan.
“Dengan mengintegrasikan ciri-ciri praktikal siap dengan rumah, kami berharap ini boleh meringankan beban yang sepatutnya ditanggung sendiri oleh pemilik rumah, membolehkan keluarga berpindah masuk dengan lebih cepat.
“Selaras dengan ini, kami akan terus mempertimbangkan kolaborasi dengan jenama-jenama tersohor agar dapat memberikan tambah nilai yang bermakna kepada pemilik rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Myra dan Unity Kitchen, di sini hari ini.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM400 juta, Myra Senja terdiri daripada tiga menara kediaman dengan konfigurasi tiga atau empat bilik bersaiz dari 1,101 kaki persegi ke 1,409 kaki persegi, dengan harga bermula dari RM658,000 hingga RM988,200.
Menerusi kerjasama ini, setiap unit pasaran terbuka akan menerima pakej kabinet dapur yang terdiri daripada kabinet atas dan bawah dari Unity Kitchen, permukaan kaunter batu kuartza, penyedut asap dapur dan laci dengan sistem penutupan perlahan, manakala unit kediaman jenis T2B dipasang dengan kaunter dapur jenis “pulau” (island).
Kabinet dapur di Myra Senja juga menampilkan lampu UNS LED khas dari Unity Kitchen dan juga teknologi papan anti-lipas Unity Kitchen yang disokong oleh program Care Plus yang menawarkan jaminan sehingga 10 tahun.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Kitchen, Erny Looi Chee En berkata, kerjasama tersebut adalah komitmen bersama dalam menghasilkan kediaman yang memenuhi keperluan praktikal pemilik rumah.
“Pemilik rumah inginkan dapur yang menggabungkan ciri mudah digunakan, tahan lasak, serta mudah diselenggarakan.
“Dengan mengintegrasikan bahan berkualiti dan reka bentuk yang praktikal dari titik permulaan, kami harap boleh mencorakkan suasana dapur yang akan memberikan kepuasan berlanjutan kepada pemilik,” ujarnya. – UTUSAN










