MBSB Investment Bank unjur inflasi utama 2.0%

MBSB Investment Bank unjur inflasi utama 2.0%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Investment Bank Bhd. mengekalkan unjuran inflasi utama Malaysia akan meningkat kepada 2.0 peratus tahun ini berbanding 1.4 peratus pada tahun 2025.

Bank pelaburan berkata, keadaan permintaan domestik dijangka kekal kukuh, disokong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna, pasaran buruh yang stabil serta langkah fiskal kerajaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, katanya, tekanan harga dijangka lebih banyak didorong oleh faktor penawaran memandangkan inflasi teras yang stabil menunjukkan tekanan permintaan asas masih terkawal.

“Dasar kerajaan dan subsidi bahan api akan terus memainkan peranan penting dalam mengurangkan kejutan harga akibat peningkatan harga tenaga global. 

“Walau bagaimanapun, inflasi domestik dijangka kekal terkawal, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus berwaspada sambil mengekalkan dasar monetari yang stabil,” katanya dalam nota penyelidikan.

MBSB Investment Bank berkata, langkah sokongan kerajaan dan subsidi bahan api amat penting dalam mengurangkan tekanan harga, namun risiko geopolitik yang semakin meningkat berpotensi mengekalkan harga tenaga pada paras tinggi dan memanjangkan tekanan inflasi.

“Inflasi utama Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia terus meningkat kepada 2.0 peratus tahun ke tahun pada Mei (April 2026: 1.9 peratus) yang merupakan kadar inflasi terpantas sejak Ogos 2023, selaras dengan konsensus pasaran dan jangkaan kami.

“Data Mei 2026 ini terus mencerminkan inflasi tenaga global susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

“Inflasi bukan makanan kekal tinggi pada 2.3 peratus tahun ke tahun (April 2026: 2.3 peratus). Dalam komponen bukan makanan, inflasi lebih tinggi dicatatkan bagi kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.2 peratus),” ujarnya.

Sementara itu, bank pelaburan berkata, walaupun Malaysia secara struktur masih terdedah kepada kejutan komoditi luar dan turun naik kadar pertukaran asing, prospek jangka pendek bagi inflasi import dilihat agak seimbang.

“Pengukuhan ringgit sejak kebelakangan ini menjadi penampan penting yang membantu mengurangkan tekanan harga import. Namun, faktor positif ini sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan serentak harga komoditi makanan global yang terus menimbulkan risiko kenaikan kepada trajektori inflasi domestik.

“Berdasarkan perubahan terkini dalam jangkaan hala tuju kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), ringgit berkemungkinan berada dalam trend penyusutan nilai pada penghujung tahun ini.

“Sehubungan itu, sekiranya keadaan ini berterusan, kami menjangkakan berlaku pemindahan inflasi secara sederhana kepada pengguna. Namun, harga tenaga yang masih tinggi dalam jangka pendek berkemungkinan terus kekal dan memberi tekanan tambahan kepada pengguna,” jelasnya.

Tambahnya, pelarasan harga petrol bersasar untuk bukan warganegara secara umumnya berkesan dalam membendung tekanan harga, dengan kesannya dikurangkan melalui harga bahan api bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN