KUALA LUMPUR: Kerjasama yang lebih mendalam merentasi keseluruhan rantaian nilai industri tenaga perlu diperkukuh bagi mempercepat agenda peralihan tenaga negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sinergi antara agensi kerajaan, syarikat utiliti, pemaju projek dan institusi kewangan mampu membuka peluang baharu serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan peralihan tenaga pada skala yang lebih besar.
Katanya, landskap global serta sistem tenaga masa hadapan akan mengalami perubahan yang ketara berbanding keadaan semasa.
“Adalah penting untuk kita terus bersifat adaptif dan berpandangan jauh terhadap perkembangan semasa supaya keupayaan negara berkembang seiring dengan perubahan teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pelancaran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas kejayaan menganjurkan edisi kedua Persidangan Peralihan Tenaga (ETCon), yang kini berkembang sebagai platform menghimpunkan pemimpin industri, pakar dan pembuat dasar dari seluruh dunia.
Katanya, persidangan itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempercepatkan peralihan tenaga, dengan negara bergerak secara lebih tersusun daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan.
“Peralihan tenaga negara bukan sahaja perlu mampan, malah mesti dilaksanakan secara adil, inklusif dan saksama.
“Peralihan tenaga perlu mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan, memperkukuh komuniti, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Fadillah berkata, kejayaan sebenar agenda peralihan tenaga tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kapasiti tenaga yang dipasang, bilangan projek yang dilaksanakan atau nilai pelaburan yang berjaya ditarik masuk.
“Sebaliknya, ukuran kejayaan yang lebih bermakna ialah sama ada generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang lebih berdaya tahan, makmur dan selamat berbanding generasi hari ini.
“Pada akhirnya, peralihan tenaga bukan sekadar mengubah cara kita menjana elektrik, tetapi merupakan usaha memperkasakan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, di peringkat Asia Tenggara, permintaan elektrik dijangka meningkat sekitar empat hingga lima peratus setahun sepanjang dekad akan datang.
“Pertumbuhan tersebut didorong oleh proses perindustrian dan urbanisasi yang semakin pesat, selain kemunculan sumber permintaan baharu seperti infrastruktur digital, kenderaan elektrik (EV), keperluan penyejukan, serta pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – UTUSAN










