India Gate sasar 30 cawangan dalam tempoh dua tahun

India Gate sasar 30 cawangan dalam tempoh dua tahun

CAWANGAN baharu restoran India Gate di Bukit Bintang. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Restoran makanan asli India, India Gate menyasarkan untuk mempunyai 30 cawangan di seluruh negara terutama di Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketika ini, India Gate mengendalikan 15 cawangan, kebanyakannya di Lembah Klang selain sebuah restoran berskala besar di Seremban 2, Negeri Sembilan.

Pengasas India Gate, Saravanan Subramaniam berkata, syarikat itu akan terus memperkukuh rangkaian halal, meningkatkan kecekapan operasi, membangunkan sistem yang lebih mantap serta meneroka peluang membawa jenama berkenaan ke peringkat antarabangsa.

“Impian kami bukan sekadar menjadi rangkaian restoran yang besar.

“Sebaliknya, kami mahu menjadikan India Gate sebagai antara jenama restoran Malaysia yang dihormati dan dikenali di peringkat global.

“India Gate kini mempunyai 15 cawangan dan merancang membuka 15 lagi cawangan baharu di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.

“Antara negeri yang menjadi fokus ialah Johor, Pulau Pinang dan Melaka, manakala pembukaan cawangan di Sabah juga berada dalam perancangan kami,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Cawangan Ke-14 Restoran India Gate di Bukit Bintang baru-baru ini.

Mengulas mengenai pengembangan antarabangsa, beliau berkata, syarikat telah menubuhkan entiti perniagaan di Singapura serta memperoleh pendaftaran tanda dagangan di republik itu dan Indonesia.

“Kami turut merancang untuk mengembangkan operasi ke beberapa pasaran luar negara termasuk Melbourne, Australia.

“Bagaimanapun, pembukaan cawangan di luar negara dijangka dilaksanakan selepas sasaran memiliki 30 cawangan di Malaysia dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, India Gate berbangga menjadi satu-satunya restoran India berkonsep santapan mewah yang menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, selain cawangan restoran, dapur pusat dan perkhidmatan katering syarikat juga telah memperoleh pensijilan halal.

“Proses mendapatkan sijil halal agak mencabar, namun ia penting kerana bukan sahaja melibatkan aspek makanan halal, malah merangkumi kebersihan, pengurusan dapur, penyimpanan bahan mentah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Dengan pensijilan halal yang diperoleh tahun ini, kami menjangkakan peningkatan jualan sekitar 30 peratus susulan keyakinan pelanggan Muslim yang semakin tinggi,” jelasnya.

Sebelum ini, India Gate menerima pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records dan ASEAN Records.

Terbaharu, syarikat itu menerima pengiktirafan ASIA Records bagi pencapaian jualan biryani tertinggi dengan lebih 700,000 hidangan biryani terjual dalam tempoh setahun berdasarkan data tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN