PETALING JAYA: HE Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai kira-kira RM102 juta bagi kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik utama untuk sebuah pusat data di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, HE Group berkata, subkontrak tersebut diterima daripada sebuah syarikat kejuruteraan, perolehan dan pengurusan pembinaan (EPCM) yang diperbadankan di Malaysia dan dimiliki oleh pihak asing.
Katanya, skop kerja melibatkan pelaksanaan kerja-kerja elektrik utama bagi projek pusat data berkenaan, dengan tempoh pelaksanaan bermula pada tarikh penerimaan kontrak iaitu 22 Jun 2026 dan dijadual siap pada 19 September 2027.
“Nilai kontrak adalah kira-kira RM102 juta, tertakluk kepada sebarang perubahan, penambahan dan/atau pengurangan mengikut terma kontrak,” katanya.
HE Group berkata, tiada risiko ketara yang dijangka selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek tersebut.
Syarikat itu menjangkakan subkontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan prestasi kewangannya pada masa hadapan, tanpa memberi kesan kepada modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama.
Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, pemerolehan kontrak ini menambah jejak kumpulan yang semakin meningkat dalam segmen pusat data, menjadi bahagian yang semakin penting dalam buku pesanan syarikat.
Katanya, dengan asas projek yang kukuh, pihaknya terus mengarahkan usaha pembangunan perniagaan ke arah pusat data, semikonduktor dan industri pertumbuhan tinggi lain iaitu permintaan untuk infrastruktur elektrik kekal aktif.
“Kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan infrastruktur digital terus mengukuh, menarik komitmen modal yang ketara daripada pemain domestik dan antarabangsa.
“Ini disokong oleh perkembangan pesat perkhidmatan awan dan beban kerja yang dipacu kecerdasan buatan (AI), yang menjana permintaan yang berterusan untuk kapasiti pusat data berskala besar dan andal,” katanya. – UTUSAN










