PETALING JAYA: Harga minyak mentah global dijangka terus berada dalam aliran menurun dan berpotensi mencecah AS$65 (RM266.53) setong menjelang Oktober, berikutan jangkaan lebihan bekalan dalam pasaran susulan konflik Asia Barat yang mereda serta pembukaan semula Selat Hormuz.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penurunan harga minyak ketika ini lebih banyak didorong oleh faktor bekalan berbanding permintaan, dengan nisbah sekitar 70 peratus berpunca daripada bekalan dan 30 peratus daripada permintaan.
Katanya, keadaan di Selat Hormuz yang semakin stabil membolehkan laluan perkapalan kembali digunakan, sekali gus membolehkan bekalan minyak yang sebelum ini terkandas memasuki pasaran global.
“Apabila bekalan yang tertangguh mula memasuki pasaran, kita akan melihat pertambahan bekalan minyak yang ketara. Pada masa sama, Iran juga berpotensi menerima lebih banyak pelaburan sekiranya ketegangan terus reda.
“Harga minyak mentah boleh mencecah sekitar AS$65 (RM266.53) setong menjelang Oktober, manakala dalam tempoh terdekat dijangka bergerak dalam lingkungan AS$70 (RM287.03) hingga AS$75 (RM307.53) setong,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sehingga lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent susut 1.91 peratus kepada AS$73.83 (RM301.77) setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) jatuh 2.03 peratus kepada AS$70.46 (RM288) setong.
Bagaimanapun, beliau berkata, prospek tersebut masih bergantung kepada perkembangan konflik Asia Barat dan sama ada Israel melancarkan serangan baharu atau rundingan gagal diteruskan.
“Pasaran kini agak optimistik, tetapi sebenarnya konflik itu belum benar-benar selesai. Banyak perkara akan bergantung kepada apa yang berlaku selepas tempoh 60 hari akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah Brent dijangka bergerak dalam lingkungan AS$70 (RM287.03) hingga AS$80 (RM328.05) setong bagi suku ketiga dan keempat 2026, manakala WTI diunjurkan antara AS$67 (RM274.74) hingga AS$77 (RM315.75) setong.
Beliau berkata, paras sekitar AS$65 (RM266.53) hingga AS$70 (RM287.03) setong dijangka menjadi lantai harga kerana jika harga jatuh lebih rendah untuk tempoh panjang, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) berkemungkinan mengurangkan pengeluaran semula, manakala pengeluar syal di AS dijangka memperlahankan perbelanjaan modal.
“Sebaliknya, harga sukar melepasi AS$85 (RM348.53) hingga AS$90 (RM369.04) setong melainkan berlaku kejutan bekalan seperti gangguan semula di Selat Hormuz, serangan terhadap infrastruktur minyak utama atau sekatan yang lebih ketat ke atas Rusia dan Iran,” jelasnya.
Mengulas implikasi kepada Malaysia, Aimi Zulhazmi berkata, penurunan harga minyak memberi kesan bercampur tetapi secara keseluruhannya positif kepada ekonomi dan kedudukan fiskal negara.
Katanya, kerajaan berpotensi menjimatkan perbelanjaan subsidi bahan api, walaupun hasil petroleum dan dividen Petronas kepada kerajaan dijangka berkurangan apabila harga minyak lebih rendah.
“Jika Brent kekal sekitar AS$70 (RM287.03) setong, kos subsidi bahan api pada 2026 boleh dijimatkan sekitar RM5 bilion hingga RM8 bilion berbanding senario harga AS$90 (RM369.04) setong. Ini memberi lebih ruang kepada kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Selain itu, kos pengangkutan dan logistik yang lebih rendah akan membantu mengurangkan tekanan inflasi serta meningkatkan kuasa beli isi rumah,” katanya. – UTUSAN










