Harga minyak dunia menjunam sehingga AS$80 setong - Utusan Malaysia

Harga minyak dunia menjunam sehingga AS$80 setong

KAPAL-kapal tangki berlabuh di Selat Hormuz di luar Bandar Abbas, selatan Iran, awal bulan ini.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah dunia akhirnya menunjukkan tanda-tanda penyusutan besar selepas melonjak melebihi paras psikologi AS$100 setong susulan ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang mencetuskan kebimbangan gangguan bekalan tenaga global.

Pasaran komoditi antarabangsa semalam menyaksikan kejatuhan ketara harga minyak apabila kedua-dua negara mengumumkan persetujuan menamatkan konflik di Asia Barat menerusi perjanjian damai yang turut menyaksikan penghentian operasi ketenteraan secara serta-merta dan berkekalan di beberapa kawasan bergolak termasuk Lubnan.

Perkembangan itu meredakan kebimbangan pelabur terhadap risiko gangguan bekalan minyak global, sekali gus mencetuskan aktiviti jualan dalam pasaran tenaga selepas beberapa minggu harga minyak meningkat mendadak akibat ketidaktentuan geopolitik.

Susulan itu, penanda aras minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) susut 4.70 peratus kepada AS$80.89 setong manakala minyak mentah Brent merosot 4.03 peratus kepada AS$83.81 setong pada dagangan semalam.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, penurunan harga minyak dunia secara keseluruhannya merupakan perkembangan positif kepada ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan pengurangan hasil daripada sektor petroleum dalam jangka pendek.

Katanya, pendapatan berkaitan petrodolar seperti dividen Petronas dan Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) mungkin terkesan susulan harga jualan minyak yang lebih rendah.

Namun, ujarnya, kesan tersebut dijangka dapat diimbangi oleh manfaat yang dinikmati sektor lain dalam ekonomi.

“Penurunan harga minyak global akan mengurangkan kos input pembuatan dan logistik, sekali gus merangsang aktiviti perdagangan domestik serta meningkatkan margin keuntungan syarikat tempatan.

“Pada masa sama, kestabilan geopolitik yang kembali pulih dijangka meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik lebih banyak aliran masuk pelaburan asing ke negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, kejatuhan harga minyak dunia mempunyai hubungan langsung dengan harga runcit bahan api di pasaran domestik, namun kesannya turut dipengaruhi oleh pergerakan kadar pertukaran mata wang.

“Di bawah sistem apungan terkawal melalui formula Mekanisme Harga Automatik (APM), penurunan harga Brent sepatutnya mengurangkan kos produk petroleum bertapis yang dijual kepada pengguna.

“Selain itu, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS sejak kebelakangan ini turut membantu mengurangkan tekanan kos import bahan api,” katanya.

Beliau berkata, situasi tersebut juga memberi kelebihan kepada kerajaan dalam melaksanakan subsidi bahan api secara lebih tersusun.

“Apabila harga pasaran sebenar semakin menghampiri harga bersubsidi, beban fiskal kerajaan menjadi lebih rendah dan proses pelaksanaan subsidi bersasar dapat dilakukan dengan lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko kejutan harga yang boleh menjejaskan pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idham berkata, sekiranya harga minyak mentah terus kekal pada paras semasa atau lebih rendah, pengguna boleh menjangkakan tekanan kos sara hidup yang lebih sederhana.

Katanya, sektor pengangkutan dan logistik yang menjadi tunjang kepada rantaian bekalan makanan serta barangan keperluan dijangka menerima manfaat paling besar.

“Apabila kos operasi pengangkutan menurun, tekanan inflasi tolakan kos di peringkat pengeluar juga akan berkurangan.

“Keadaan ini akhirnya membantu menstabilkan harga barangan di pasaran runcit dan meningkatkan kuasa beli rakyat,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan tersebut berpotensi mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih kondusif bagi pertumbuhan penggunaan domestik dan aktiviti perniagaan dalam tempoh sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN