PETALING JAYA: Dongfeng Heavy Industries Sdn. Bhd. melancarkan operasinya sebagai pengedar rasmi trak Dongfeng di Malaysia dengan memperkenalkan rangkaian lengkap trak tugas berat bagi memenuhi keperluan industri pengangkutan tempatan yang semakin berkembang.
Syarikat yang berpangkalan di Jalan Meru, Klang itu diterajui veteran industri, Quek Wang, selaku Pengarah Eksekutif dan dilantik sebagai pengedar rasmi Dongfeng Commercial Vehicles sejak penghujung tahun lalu.
Pada majlis pelancaran tersebut, Dongfeng Heavy Industries memperkenalkan beberapa model utama termasuk trak penggerak utama 4×2 dan 6×4, trak tipper 6×4 dan 8×4 serta trak pembancuh simen 6×4 yang direka untuk pelbagai aplikasi komersial dan pembinaan.
Dalam perkembangan sama, syarikat itu turut memeterai perjanjian pembelian sebanyak 200 unit trak dengan Dongfeng Commercial Vehicles sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan pasaran di Malaysia.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian perjanjian pemasangan antara Dongfeng Heavy Industries dan Gemilang Coachwork Sdn. Bhd., selain beberapa perjanjian pembelian dengan pelanggan tempatan.
Quek berkata, pihaknya memahami kebimbangan syarikat pengangkutan dan memutuskan untuk memperkenalkan trak tugas berat Dongfeng generasi terbaharu ini.
“Khususnya, trak-trak ini mematuhi piawaian pelepasan EURO V, menggunakan enjin yang telah diuji serta teknologi pacuan daripada pengeluar terkemuka.
“Trak-trak tersebut saling melengkapi dan pelanggan dijangka akan membuat pesanan yang berkombinasi. Trak-trak itu akan diimport sebagai varian pemasangan tempatan (CKD), dengan Gemilang Coachwork Sdn. Bhd. sebagai rakan kongsi pemasangan,” jelasnya.
Mengenai perlantikan Gemilang Coachwork, Quek berkata, syarikat ini yang berpangkalan di Johor mempunyai kedudukan unik sebagai rakan pemasangan yang ideal untuk Dongfeng Heavy Industries.
“Mereka mempunyai kepakaran dalam ketepatan pembuatan, keupayaan kejuruteraan pengeluaran termaju dan proses kawalan kualiti yang ketat,” katanya.
Selain pemasangan kenderaan konvensional, kelebihan Gemilang Coachwork terletak pada kebolehan dalam menyepadukan sistem yang kompleks, mengurus keperluan pematuhan yang ketat dan mengekalkan piawaian binaan yang konsisten merentasi pelbagai platform kenderaan.
Pengerusi Lembaga dan Setiausaha Parti China Dongfeng Motor Industry Import & Export Co Ltd, Wang Long yang mewakili Dongfeng Commercial Vehicles berkata, pembukaan pengedaran baharu itu mencerminkan komitmen syarikat untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Dongfeng untuk mengukuhkan kehadirannya di Malaysia, sambil meningkatkan sokongan pelanggan dan perkhidmatan selepas jualan,” katanya.
Beliau berkata, Dongfeng Heavy Industries dijangka memainkan peranan penting dalam memperluaskan jangkauan pasaran syarikat serta menawarkan nilai tambah kepada pengendali pengangkutan di seluruh negara. – UTUSAN










