PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka melepasi paras psikologi 1,700 mata pada minggu ini meskipun sentimen pasaran dilihat masih lembap susulan pelabur asing terus mencatatkan aliran keluar dana daripada pasaran tempatan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur asing merekodkan jualan bersih berjumlah RM1.9 bilion bagi tempoh 4 Mei hingga 28 Mei, berbanding aliran masuk bersih sekitar RM529 juta yang dicatatkan pada April lalu.
Katanya, kebimbangan terhadap krisis bekalan bahan api susulan konflik perang di Iran menyebabkan sentimen pasaran saham global kekal lemah, sekali gus mendorong pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam mengekalkan pendedahan terhadap pasaran ekuiti.
“Situasi semasa turut menyebabkan tekanan inflasi meningkat di peringkat global.
“Terbaharu, kadar inflasi Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 3.8 peratus pada April, melebihi sasaran Rizab Persekutuan (Fed) AS,” katanya.
Beliau berkata, para pedagang kini menjangkakan Fed akan menaikkan lagi kadar faedah bagi mengekang tekanan inflasi.
“Situasi ini memberi kesan negatif kepada pasaran saham kerana syarikat dijangka berdepan kos pembiayaan yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, FBM KLCI diunjurkan bergerak stabil dalam julat antara 1,700 hingga 1,730 mata.
“Bursa Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat,” katanya.
Menurut beliau, aktiviti memburu saham murah dijangka terus berlaku dalam kalangan pelabur tempatan, khususnya terhadap saham berasaskan kukuh selepas fasa pengambilan untung baru-baru ini.
Selain itu, katanya, tumpuan pelabur turut terarah kepada musim keputusan kewangan suku pertama 2026, dengan prestasi sektor defensif dijangka menjadi benteng sokongan utama kepada indeks.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 yang kukuh pada kadar 5.4 peratus serta kadar inflasi domestik yang terkawal pada 1.9 peratus turut memberi sokongan kepada pasaran tempatan,” katanya.
Dari sudut teknikal, Barjoyai berkata, paras sokongan utama indeks dilihat berada dalam julat 1,700 hingga 1,705 mata.
“Jika paras ini berjaya dipertahankan, ia mampu menghalang kejatuhan lebih mendalam.
“Paras rintangan pula berada antara 1,725 hingga 1,730 mata dan kejayaan menembusi paras ini memerlukan kemasukan dana asing yang lebih agresif,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, sektor perbankan dan kewangan dijangka terus menjadi pilihan pelabur institusi susulan jangkaan pembayaran dividen serta pendapatan suku pertama yang kekal berdaya tahan.
“Sektor perladangan dan infrastruktur pula dilihat terus menerima minat belian sebagai sektor defensif bagi mengimbangi ketidaktentuan pasaran global,” katanya.
Selain itu, jelasnya, sektor hartanah dan pembinaan dijangka mendapat sentimen positif daripada perkembangan projek berimpak tinggi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). – UTUSAN










