PETALING JAYA: Sentimen pelabur di Bursa Malaysia dijangka kekal positif pada minggu ini, susulan perkembangan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang membantu meredakan ketegangan geopolitik, menstabilkan harga minyak global serta meningkatkan keyakinan terhadap aset berisiko.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) diunjurkan bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,740 mata minggu ini.
Katanya, jika harga minyak terus menurun ke bawah AS$75 (RM310.38) setong dan disokong kemasukan dana asing, indeks berpotensi meningkat ke paras antara 1,740 hingga 1,760 mata.
“Namun, jika ketegangan geopolitik kembali memuncak, FBM KLCI boleh susut ke sekitar 1,670 hingga 1,690 mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, prestasi positif pasaran saham tempatan minggu lalu didorong oleh empat faktor utama iaitu pengurangan risiko geopolitik, kestabilan harga minyak, penilaian saham tempatan yang masih menarik dan jangkaan kadar faedah global yang lebih stabil.
Beliau berkata, perjanjian damai antara AS dan Iran telah mengurangkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dunia serta risiko penutupan Selat Hormuz yang sebelum ini menjadi antara faktor utama ketidaktentuan pasaran global.
“Ketegangan geopolitik yang semakin reda telah mengurangkan premium risiko dalam pasaran. Pada masa sama, harga minyak Brent turut kembali stabil selepas turun daripada paras melebihi AS$110 (RM455.22) setong ketika kemuncak krisis kepada sekitar AS$78 (RM322.79) hingga AS$80 (RM331.07) setong ketika ini.
“Perkembangan itu turut membantu mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi global dan peningkatan kos operasi perniagaan,” ujarnya.
Barjoyai berkata, penilaian saham di Bursa Malaysia juga masih dilihat kompetitif berbanding beberapa pasaran serantau, sekali gus menarik minat pelabur untuk membeli saham-saham berwajaran tinggi.
Selain itu, beliau berkata, pelabur semakin yakin bahawa bank-bank pusat utama dunia tidak akan menaikkan kadar faedah secara agresif dalam tempoh terdekat, yang lazimnya menyokong aliran pelaburan ke dalam pasaran saham.
Sementara itu, Barjoyai berkata, penurunan harga minyak mentah dunia turut memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia meskipun negara merupakan pengeluar minyak dan pada masa sama pengguna tenaga yang besar.
Menurutnya, harga minyak yang lebih rendah akan membantu mengurangkan kos operasi syarikat terutama dalam sektor pengangkutan, logistik, penerbangan dan pembuatan.
“Selain itu, tekanan inflasi dijangka lebih terkawal berikutan kos bahan api dan penghantaran yang lebih rendah, sekali gus membantu menstabilkan harga makanan dan barangan keperluan.
“Apabila kos sara hidup berkurangan, pengguna mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan. Pada masa sama, kerajaan juga mendapat ruang fiskal yang lebih besar kerana tekanan subsidi dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau mengunjurkan harga minyak Brent berpotensi turun ke sekitar AS$72 (RM297.96) hingga AS$78 (RM322.79) setong dalam tempoh sebulan akan datang sekiranya perjanjian damai berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
“Bagi tempoh tiga bulan akan datang, harga Brent dijangka berada dalam julat AS$70 (RM289.69) hingga AS$75 (RM310.38) setong, sejajar dengan unjuran beberapa institusi antarabangsa yang menjangkakan aliran minyak melalui Selat Hormuz kembali normal.
“Namun begitu, sebarang peningkatan semula konflik di rantau Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak melonjak semula melebihi AS$90 (RM372.45) setong.
Mengenai aliran dana asing, Barjoyai berkata, pihaknya menjangkakan prospek lebih baik pada separuh kedua tahun ini berbanding separuh pertama, didorong oleh penilaian pasaran saham Malaysia yang masih menarik, kestabilan ringgit serta pertumbuhan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pusat data dan teknologi.
Beliau berkata, harga minyak pada paras sederhana sekitar AS$70 (RM289.69) hingga AS$80 (RM331.07) setong juga merupakan keadaan yang ideal bagi Malaysia kerana ia mampu menyokong hasil negara tanpa menimbulkan tekanan inflasi yang berlebihan.
“Sentimen pasaran dijangka terus disokong oleh perkembangan damai AS-Iran yang membantu menurunkan harga minyak dan mengurangkan risiko geopolitik global. Jika aliran dana asing kembali aktif, FBM KLCI berpotensi menguji paras 1,740 mata dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN










