BMW F 450 GS kini di Malaysia: GS paling ringan dan mampu milik

BMW F 450 GS kini di Malaysia: GS paling ringan dan mampu milik

BMW F 450 GS Trophy mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BMW Motorrad Malaysia secara rasmi memperkenalkan BMW F 450 GS untuk pasaran tempatan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam keluarga GS dengan menawarkan sebuah motosikal pengembaraan yang lebih ringan, mudah dikendalikan dan mesra kepada pelbagai peringkat penunggang.

Model yang pertama kali diperlihatkan sebagai konsep di EICMA 2024 itu kini hadir dalam versi produksi dan direka khas untuk mereka yang mahukan keseimbangan antara penggunaan harian, pengembaraan jarak jauh serta keupayaan off-road tanpa perlu beralih kepada motosikal pengembaraan berkapasiti besar.

Menariknya, BMW Motorrad Malaysia hanya menawarkan satu varian sahaja untuk pasaran tempatan iaitu BMW F 450 GS Trophy dalam kemasan warna eksklusif GS Trophy Racing Blue Metallic.

 

DNA GS dalam pakej lebih ringan

Walaupun merupakan model paling kecil dalam keluarga GS ketika ini, BMW menegaskan bahawa F 450 GS bukan sekadar versi ‘dikecilkan’ daripada model GS yang lebih besar. 

Sebaliknya, motosikal ini dibangunkan dari awal sebagai sebuah jentera adventure yang lengkap dengan identiti, teknologi dan karakter tersendiri.

Dari segi rekaan, F 450 GS mengekalkan elemen ikonik keluarga GS seperti lampu hadapan LED dengan grafik DRL berbentuk ‘X’, muncung hadapan atau ‘beak’ yang sinonim dengan model GS serta profil badan yang mengalir dari bahagian hadapan sehingga ke belakang yang lebih tirus.

BMW turut memberi perhatian terhadap aspek ergonomik dengan kedudukan hendal aluminium yang tinggi dan dekat dengan badan penunggang. 

Tangki bahan api berkapasiti 14 liter pula direka bagi memberikan cengkaman lutut yang lebih baik sama ada ketika menunggang secara santai di atas jalan raya atau berdiri ketika meredah laluan off-road.

Sebagai standard, model Trophy ini turut dilengkapi pelindung tangan, cermin angin Rallye berwarna gelap, footpeg off-road serta pelindung enjin aluminium.

Enjin baharu dengan karakter unik

Antara perkara paling menarik mengenai BMW F 450 GS ialah enjin baharu dua silinder sebaris berkapasiti 450 cc yang dibangunkan khusus untuk model ini. Enjin penyejukan cecair tersebut menghasilkan kuasa maksimum 48 hp pada 8,750 rpm dan tork 43 Nm pada 6,750 rpm.

Apa yang menjadikan enjin ini lebih menarik ialah penggunaan crankpin offset 135 darjah, berbeza daripada kebanyakan motosikal parallel-twin dalam kelas yang lazimnya menggunakan konfigurasi 270 darjah.

Hasilnya, enjin ini menghasilkan firing order yang tidak sekata dengan karakter bunyi dan penghantaran kuasa yang lebih menyerupai konsep ‘Big-Bang’. 

Dalam penggunaan sebenar, konfigurasi ini memberikan rasa tork yang lebih kuat pada RPM rendah dan pertengahan, sesuatu yang sangat berguna ketika tunggangan off-road atau laluan berselekoh.

Bagi memastikan keselesaan kekal terjaga, BMW turut memasang counter balance shaft di hadapan crankshaft untuk mengurangkan getaran yang dihasilkan oleh enjin tersebut.

BMW mendakwa F 450 GS mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 165 km/j, manakala penggunaan bahan api pula direkodkan sekitar 3.8 liter bagi setiap 100 km perjalanan.

 

Casis adventure yang serius

Walaupun dibangunkan sebagai model yang lebih ringan dan mudah dikendalikan, BMW tidak berkompromi dari segi keupayaan casis.

F 450 GS menggunakan rangka keluli yang direka untuk menawarkan ketahanan tinggi ketika penggunaan lasak. Ia dipadankan dengan jarak roda 1,465 milimeter (mm), sudut kepala stereng 28.1 darjah dan trail 115 mm bagi memastikan kestabilan ketika kelajuan tinggi serta kawalan yang tepat di laluan mencabar.

Sistem suspensi hadapan menggunakan fork USD 43 mm dengan pelarasan rebound dan compression, manakala bahagian belakang pula menerima lengan ayun aluminium berkembar bersama penyerap hentak tengah yang turut boleh dilaraskan dari segi preload dan rebound

Kedua-dua bahagian menawarkan jarak gerakan suspensi sejauh 180 mm.

BMW turut menggunakan pelbagai komponen ringan seperti hendal aluminium, lengan ayun aluminium dan beberapa komponen magnesium bagi membantu mengurangkan berat keseluruhan motosikal.

Berdasarkan spesifikasi global yang dipaparkan BMW Motorrad, F 450 GS mempunyai berat sekitar 178 kilogram (kg) serta ketinggian tempat duduk 845 mm, menjadikannya antara model GS paling mudah diakses oleh penunggang pelbagai saiz badan.

Easy ride clutch: Ciri yang tiada pada pesaing

Satu lagi ciri yang membezakan BMW F 450 GS daripada pesaing dalam segmen pengembaraan pertengahan ialah sistem BMW Easy Ride Clutch (ERC). Sistem ini ditawarkan secara standard pada varian Trophy yang dijual di Malaysia.

Secara mudah, ERC boleh dianggap seperti gabungan antara motosikal manual dan automatik.

Penunggang tidak perlu menarik tuil klac ketika memulakan pergerakan atau menukar gear dalam kebanyakan situasi. 

Namun begitu, tuil klac masih dikekalkan dan boleh digunakan secara manual apabila diperlukan.

Ini bermakna pengalaman menunggang menjadi lebih mudah terutama ketika trafik sesak, laluan teknikal atau tunggangan off-road pada kelajuan rendah. Pada masa sama, sistem ini turut membantu mengelakkan enjin daripada mati secara tidak sengaja.

BMW turut memadankan ERC dengan Shift Assistant Pro yang membolehkan pertukaran gear naik dan turun dilakukan tanpa menggunakan klac.

 

Elektronik lengkap seperti GS lebih besar

Walaupun berada dalam segmen pertengahan, BMW F 450 GS menerima pakej elektronik yang cukup lengkap.

Antara sistem yang ditawarkan termasuk ABS Pro, Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Traction Control (DTC) dan Engine Drag Torque Control (MSR).

Empat mod tunggangan turut disediakan iaitu Rain, Road, Enduro dan Enduro Pro. Mod Enduro Pro membolehkan beberapa bantuan elektronik seperti kawalan wheelie dan ABS roda belakang dinyahaktifkan bagi memberikan lebih kebebasan ketika tunggangan off-road.

Paparan TFT bersaiz 6.5 inci pula menjadi standard dengan fungsi sambungan moden serta Sport Screen yang memaparkan data tambahan seperti tahap intervensi DTC, kuasa membrek dan sudut condongan motosikal ketika mengambil selekoh. Port pengecas USB-C juga disediakan.

 

Harga anggaran RM40,000

BMW Motorrad Malaysia menganggarkan harga BMW F 450 GS Trophy pada sekitar RM40,000 untuk pasaran tempatan. Tempahan juga telah dibuka menerusi rangkaian pengedar rasmi BMW Motorrad di seluruh negara.

Dengan gabungan enjin dua silinder yang berkarakter, teknologi Easy Ride Clutch yang unik, pakej elektronik lengkap serta berat yang jauh lebih rendah berbanding model GS bersaiz besar, BMW F 450 GS berpotensi menjadi pilihan menarik bagi penunggang yang mahu merasai pengalaman GS tulen dalam pakej yang lebih mudah dikendalikan dan mesra penggunaan harian.

Bagi mereka yang selama ini mengimpikan sebuah GS tetapi merasakan model seperti F 900 GS atau R 1300 GS terlalu besar, BMW F 450 GS mungkin merupakan titik permulaan paling ideal untuk memasuki dunia adventure BMW Motorrad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN