Angku Trading catat lonjakan jualan selepas terima halal 

Angku Trading catat lonjakan jualan selepas terima halal 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengusaha tempatan, Angku Trading, yang mengusahakan produk makanan warisan berasaskan resipi turun-temurun, mencatatkan peningkatan jualan yang memberangsangkan selepas memperoleh pensijilan halal pada awal 2025.

Pemiliknya, Mohamad Yusof Mohd. Surid berkata, pensijilan halal telah memberi impak positif kepada prestasi perniagaan. 

“Selain membuka peluang penyertaan dalam pelbagai festival halal, produk keluaran syarikat turut mendapat sambutan daripada pelanggan bukan Islam.

“Dari segi jualan, sebelum memiliki sijil halal, purata jualan bulanan berada sekitar RM900 hingga RM1,200. Selepas memperoleh pensijilan halal, jualan meningkat kepada antara RM3,500 hingga RM7,000 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelasnya, dua produk utama berteraskan makanan warisan generasi keluarga iaitu Daging Dendeng Ibu Gayah dan Serunding Bilis Uwan semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna pelbagai latar belakang.

Katanya, Daging Dendeng Ibu Gayah merupakan produk sedia dimakan (RTE) seberat 200 gram dijual pada harga RM21.90. 

“Produk ini mengekalkan resipi asli empat generasi dengan menggunakan daging batang pinang dan serai sebagai bahan utama, selain bawang, bawang putih, halia, cili, lengkuas dan kicap,” katanya.

Sementara itu, Serunding Bilis Uwan yang dijual pada harga RM15.90 bagi setiap pek 120 gram dihasilkan menggunakan 100 peratus ikan bilis dari Langkawi bersama bawang goreng dan kacang tanah, sekali gus mengekalkan cita rasa tradisional yang menjadi identiti produk tersebut.

Mohamad Yusof berkata, sebelum ini jualan syarikat lebih tertumpu kepada pelanggan yang ingin menunaikan haji dan umrah serta golongan pengembara. 

“Namun, selepas memperoleh pensijilan halal, pasaran produk semakin berkembang dan kini turut menjadi pilihan wanita bekerjaya, pelajar asrama serta penggemar aktiviti rekreasi seperti pendaki.

“Permohonan pensijilan halal dibuat pada pertengahan 2024 dan diluluskan pada awal 2025. Antara tujuan utama kami memohon sijil halal adalah untuk membina kepercayaan pengguna terhadap aspek kebersihan dan kualiti produk, selain membuka peluang membawa makanan warisan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Mohamad Yusof berkata, dia menyasarkan untuk memperluaskan pasaran ke luar negara serta menjalin kerjasama dengan rangkaian francais tempatan dan antarabangsa bagi membolehkan produk warisan tersebut dimasukkan ke dalam menu perniagaan mereka.

“Pengiktirafan halal serta keunikan resipi warisan keluarga mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkenalkan makanan tradisional Malaysia ke peringkat global,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN