PETALING JAYA: Aliran keluar dana asing melonjak sebanyak RM2.83 bilion pada Mei susulan pelabur asing menjual lebih banyak saham di Bursa Malaysia dengan jualan bersih RM2.29 bilion pada Mei berbanding pembelian bersih RM528.1 juta pada April.
Ketua Analisis Rakuten Trade Research, Kenny Yee Shen Pin berkata, situasi tersebut menyebabkan aliran dana asing bagi tahun ini bertukar kepada aliran keluar bersih RM590.2 juta setakat 29 Mei 2026 selepas semua aliran masuk sebelum ini dihapuskan oleh jualan besar-besaran pada bulan berkenaan.
Menurutnya, ia susulan ketidaktentuan politik pada bulan berkenaan mencetuskan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur asing.
“Bagaimanapun, institusi tempatan terus menjadi penyokong utama pasaran apabila mencatatkan pembelian bersih RM2.62 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
“Sumbangan berterusan institusi tempatan membantu mengurangkan impak jualan asing dan mengekalkan kestabilan indeks pada paras semasa.
“Dalam tempoh yang sama, pelabur runcit masih mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM2.03 bilion walaupun terdapat sedikit peningkatan sentimen pada Mei dengan pembelian bersih RM484.1 juta.
“Keadaan itu menunjukkan tahap keyakinan pelabur individu masih belum pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media secara maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku ketiga.
Sementara itu, pegangan saham asing dalam pasaran kekal stabil sekitar paras 19 peratus meskipun berlaku pengaliran keluar dana yang besar.
Beliau berkata, data menunjukkan pegangan asing berada pada 19.19 peratus pada Mei 2026 berbanding 18.85 peratus pada April lalu.
“Keadaan tersebut memberi gambaran bahawa majoriti pelabur asing jangka panjang masih mengekalkan pegangan mereka dalam pasaran tempatan.
“Aktiviti jualan yang berlaku lebih banyak pula didorong oleh pelabur jangka pendek yang bertindak balas terhadap perkembangan semasa,” jelasnya.
Beliau berpandangan kestabilan pegangan asing sekitar 19 peratus merupakan petunjuk positif terhadap daya tahan pasaran tempatan.
“Malah, peningkatan pegangan asing ke paras antara 25 hingga 30 peratus pada masa depan berpotensi menjadi pemangkin kepada pengukuhan pasaran ekuiti negara.
“Bagaimanapun, walaupun pasaran berdepan tekanan jualan asing yang ketara pada Mei, sokongan berterusan institusi tempatan serta kestabilan pegangan asing menunjukkan keyakinan pelabur jangka panjang terhadap prospek ekonomi dan pasaran modal Malaysia masih kekal utuh,” katanya. – UTUSAN










