Affin perkenal syiling emas edisi khas bola sepak - Utusan Malaysia

Affin perkenal syiling emas edisi khas bola sepak

WAN Razly Abdullah Wan Ali (kiri) bersama Pemangku Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar (tengah) dan Siti Nurhaliza ketika pelancaran syiling emas siri bola sepak khas Affin di Menara Affin TRX.- UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Affin memperkenalkan Syiling Emas Edisi Khas Bola Sepak Affin “Champions Go for Gold” yang ditawarkan pada harga promosi RM866 berbanding harga runcit biasa RM999.

Syiling emas yang diperbuat daripada emas ketulenan 999.9 itu merupakan koleksi berinspirasikan sukan bola sepak dan disasarkan kepada peminat, pengumpul serta pembeli hadiah.

Ia hadir dalam tiga rekaan koleksi yang menampilkan 2018, 2022 dan 2026 serta dibungkus dalam kad akrilik eksklusif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya percaya perbankan bukan sekadar memenuhi keperluan kewangan, malah perlu menghubungkan pelanggan dengan minat dan pengalaman yang dekat dengan kehidupan mereka.

“Syiling Emas Edisi Khas Bola Sepak Affin “Champions Go for Gold” menggabungkan nilai koleksi, pemilikan emas fizikal dan keterujaan sukan bola sepak dalam satu tawaran unik.

“Melalui koleksi ini, kami meraikan warisan 50 tahun Affin sambil menawarkan cara berbeza kepada pelanggan untuk memiliki dan menghargai emas,” katanya pada majlis pelancaran Syiling Emas Siri Khas Bola Sepak Affin edisi “Champions Go for Gold” di sini, hari ini.

Menurut beliau, pelancaran produk berkenaan turut mencerminkan komitmen Affin dalam memperluaskan ekosistem gaya hidup serta menawarkan nilai tambah yang melangkaui produk perbankan konvensional.

Hadir sama, Duta Jenama Affin merangkap Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Pemangku Pengerusi Affin Bank Berhad, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Pengasas dan Pengarah Berjaya Corporation Berhad (BCorp), Tan Sri Vincent Tan.

Dalam perkembangan lain, Affin turut melancarkan SitiZoners Express Lane yang ditawarkan secara eksklusif di semua cawangannya di seluruh negara selama 10 hari.

Inisiatif itu diwujudkan khusus untuk peminat dan penyokong Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan menyediakan laluan keutamaan bagi urusan pembukaan akaun serta permohonan kad kredit di kaunter terpilih.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Wan Razly berkata, pelanggan perbankan masa kini mahukan pengalaman yang lebih diperibadikan, relevan, mudah diakses dan premium.

“Melalui SitiZoners Express Lane, kami memudahkan pelanggan mendapatkan akses kepada produk dan perkhidmatan Affin di samping menikmati pengalaman perbankan yang lebih lancar.

“Usaha ini selaras dengan fokus kami untuk mengurangkan masa menunggu, meningkatkan aksesibiliti dan memperkukuh pengalaman pelanggan secara keseluruhan sebagai sebuah kumpulan perbankan moden dan progresif,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan Affin turut berpeluang menikmati pelbagai keistimewaan termasuk akses jualan awal tiket konsert serta ganjaran gaya hidup eksklusif.

Pelancaran itu selaras dengan Pelan Strategik Affin Axelerate 2028 (AX28) yang memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan pelanggan terbaik menerusi inovasi, proses yang dipermudahkan dan peningkatan kemudahan kepada pelanggan.

Majlis itu turut diserikan dengan sesi eksklusif bersama Siti Nurhaliza yang memberi peluang kepada pelanggan Affin dan komuniti SitiZoners berinteraksi secara lebih dekat dengan ikon seni tanah air berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN