Untung bersih Petronas Dagangan RM291.4 juta

Untung bersih Petronas Dagangan RM291.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM291.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh dan berdaya tahan.

Keputusan itu bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan marginal sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan terutamanya oleh kos produk yang lebih tinggi susulan kenaikan harga pasaran global.

Meskipun berdepan persekitaran pasaran minyak global yang tidak menentu, perolehan kumpulan melonjak 23 peratus kepada RM11.2 bilion berbanding suku pertama 2025, disokong oleh harga jualan purata yang lebih tinggi dan jumlah jualan yang lebih kuat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, fokus utama syarikat dalam mendepani pasaran yang tidak menentu adalah memastikan kualiti perkhidmatan dan bekalan bahan api yang konsisten di setiap rangkaiannya.

“Suku pertama ini mencerminkan kekuatan perniagaan teras kami dan disiplin yang tinggi oleh pasukan kerja. Kami akan terus kekal fokus pada kecemerlangan operasi dan pendekatan berpusatkan pelanggan dalam bertindak balas dengan pantas terhadap tekanan kos serta pasaran.

“Walaupun keadaan pasaran kekal dinamik, kami yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengemudi cabaran merentasi segmen runcit dan komersial bagi menyampaikan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Jumlah jualan keseluruhan PDB mencatatkan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan volum minyak petrol (Mogas) melalui pengalaman pelanggan yang lancar di aplikasi Setel susulan pelaksanaan BUDI95, serta permintaan komersial yang lebih tinggi.

Seiring dengan prestasi berdaya tahan itu, PDB mengumumkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham biasa bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN