Shoraka perluas teknologi kewangan Islam di Uzbekistan - Utusan Malaysia

Shoraka perluas teknologi kewangan Islam di Uzbekistan

HASNUL Ismar Mohd Hasnul Ismail (dua dari kanan) bersama Saidbek Saidkarimov (kiri) pada majlis menandatangani perjanjian di Tashkent yang diadakan di Kementerian Teknologi Digital Republik Uzbekistan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Shoraka Advisory Services (Shoraka) memeterai kerjasama strategik dengan rakan kongsi yang berpangkalan di Uzbekistan, Raqama Ltd. dalam usaha mengembangkan penyelesaian teknologi kewangan inovatif berasaskan prinsip kewangan Islam.

Kerjasama itu menyatukan keupayaan teknologi kewangan yang menyeluruh milik Shoraka dan kepakaran serantau dengan kehadiran tempatan yang kukuh serta pengetahuan pasaran rakan kongsinya dari Uzbekistan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shoraka, Datuk Hasnul Ismar Mohd Hasnul Ismail berkata, usaha sama berkenaan berada dalam kedudukan yang unik untuk mempercepatkan penggunaan penyelesaian kewangan yang selamat, berskala dan patuh Syariah.

“Antara bidang yang ingin diterokai oleh usaha sama ini ialah pembangunan penyelesaian kewangan Islam di Uzbekistan, termasuk pengenalan produk dan perkhidmatan kewangan patuh Syariah.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memperluas rangkaian tawaran kewangan yang tersedia dan menyokong keperluan pasaran yang terus berkembang.

“Pengumuman hari ini juga menandakan satu langkah penting bagi Shoraka yang membolehkan kami terus memperluas usaha menyokong ekosistem kewangan digital yang lebih inklusif dan berasaskan nilai, berlandaskan prinsip kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, melalui langkah ini, pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi untuk meneroka penyelesaian teknologi kewangan praktikal.

“Ini supaya kami dapat menyokong minat yang semakin berkembang terhadap kewangan Islam di Uzbekistan dan rantau yang lebih luas,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Raqama Ltd., Saidbek Saidkarimov berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Shoraka dalam membawa penyelesaian kewangan inovatif dan patuh Syariah ke Uzbekistan,

“Usaha sama ini bukan sahaja akan mengukuhkan landskap teknologi kewangan kami, malah turut menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap kewangan Islam di pasaran kami,” katanya.

Usaha sama itu akan mengutamakan inovasi, pematuhan kawal selia, dan perkongsian strategik bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan impak jangka panjang.

Dalam pada itu, kerjasama itu juga menegaskan komitmen kedua-dua organisasi dalam memajukan ekosistem teknologi kewangan dan memupuk pertumbuhan ekonomi inklusif melalui inovasi digital.

Semasa lawatan ke rantau tersebut, wakil-wakil Shoraka berpeluang bertemu dengan Timbalan Menteri Rustam Karimjanov dari Kementerian Teknologi Digital Republik Uzbekistan.

Semua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan platform kewangan inovatif yang bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan digital dan meningkatkan penggunaan melalui penyelesaian teknologi yang selamat, cekap, dan mesra pengguna untuk peniagaan dan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN