PETALING JAYA: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat sempit antara RM3.96 hingga RM3.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, selagi tiada kejutan besar daripada perkembangan konflik Iran atau data Penggajian Bukan Ladang (NFP) AS.
Pada penutup dagangan Khamis lalu, ringgit berada pada paras RM3.9690/9740 berbanding RM3.9630/9680 pada minggu sebelumnya, manakala pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti Hari Pekerja.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pergerakan mata wang tempatan dijangka dipengaruhi beberapa pemangkin utama, termasuk data NFP AS yang akan diumumkan pada 9 Mei ini, yang menjadi petunjuk penting kepada hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed).
“Sekiranya data tersebut kukuh, dolar AS berpotensi mengukuh dan menekan ringgit ke paras RM3.98 dan ke atas, manakala data lebih lemah boleh menyokong pengukuhan ringgit ke sekitar RM3.96.
“Dalam masa sama, harga minyak mentah Brent yang kekal tinggi dalam julat AS$111 (RM439.04) hingga AS$126 (RM498.37) setong dijangka terus menjadi faktor sokongan kepada ringgit memandangkan Malaysia merupakan pengeksport bersih komoditi tersebut.
“Peningkatan harga minyak turut memberi kesan positif kepada hasil kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, bagaimanapun, ketegangan geopolitik melibatkan Iran kekal sebagai faktor risiko utama, khususnya berkaitan gangguan di Selat Hormuz.
Katanya, dalam keadaan ketidaktentuan, dolar AS terus mendapat permintaan sebagai aset selamat, sekali gus mengehadkan potensi pengukuhan ringgit walaupun disokong harga minyak yang tinggi.
“Secara keseluruhan, senario asas menunjukkan ringgit berlegar dalam julat RM3.96 hingga RM3.98 dengan kebarangkalian tertinggi, bergantung kepada kestabilan konflik geopolitik dan prestasi ekonomi AS.
“Namun, sekiranya berlaku perkembangan positif seperti gencatan senjata dan data ekonomi AS yang lemah, ringgit berpotensi mengukuh ke paras RM3.93 hingga RM3.95.
“Sebaliknya, peningkatan ketegangan ketenteraan boleh menolak ringgit melemah ke sekitar RM4.00 hingga RM4.05,” jelasnya.
Bagi tempoh jangka sederhana antara satu hingga enam bulan, Aimi Zulhazmi berkata, prospek ringgit dilihat bertambah baik secara beransur-ansur, namun masih tertakluk kepada perkembangan geopolitik dan hala tuju harga minyak.
“Menjelang penghujung 2026, sekiranya ketegangan di Asia Barat mereda dan laluan perdagangan kembali stabil, harga minyak Brent boleh turun ke AS$86 (RM340.16), ringgit turut berpotensi mengukuh ke sekitar RM3.85 hingga RM3.90, disokong jangkaan pelonggaran dasar monetari oleh Fed,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, prestasi ringgit dan pasaran saham tempatan dijangka berdepan turun naik sederhana pada minggu hadapan susulan ketidaktentuan sentimen global.
Menurutnya, ia khususnya perkembangan konflik geopolitik serta hala tuju dasar monetari AS.
“Bagi ringgit, mata wang tempatan kita dijangka bergerak dalam jajaran mendatar dengan kecenderungan ketidaktentuan yang lebih tinggi.
“Sekiranya dolar AS menunjukkan kelemahan, ringgit berpotensi mengukuh, namun sentimen ‘risk-off’ dalam pasaran global boleh memberi tekanan kepada mata wang tersebut.
“Sementara itu, Bursa Malaysia pula dijangka memulakan dagangan minggu hadapan dengan nada berhati-hati, sejajar dengan sentimen pelabur global yang masih tidak menentu.
“Pergerakan pasaran tempatan akan banyak dipengaruhi oleh arah aliran dolar AS serta pengumuman data ekonomi utama negara itu,” ujarnya.
Beliau berkata, dari segi sektor, kaunter perbankan dijangka sensitif terhadap perubahan aliran dana, manakala sektor eksport pula bergantung kepada pergerakan ringgit, khususnya dalam menentukan daya saing di pasaran antarabangsa.
“Antara faktor utama yang perlu diberi perhatian, termasuk data inflasi dan pasaran buruh AS, jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed), pergerakan harga minyak global serta aliran dana asing ke pasaran sedang pesat membangun,” katanya.
Tambahnya, secara keseluruhan, tiada kejutan besar dijangka berlaku dalam tempoh terdekat, namun pasaran berkemungkinan kekal berombak berbanding kebiasaan.
“Justeru, pelabur disaran memberi tumpuan kepada perkembangan sentimen global sebagai pemacu utama pasaran,” jelasnya. – UTUSAN










