PETALING JAYA: Proton mencatatkan jualan kumpulan sebanyak 18,156 unit pada April, menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ke tarikh sebanyak 67,298 unit, sekali gus meneruskan momentum positif dengan permulaan kukuh bagi suku kedua tahun ini.
Prestasi itu mencerminkan peningkatan 40.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, selari dengan sasaran syarikat untuk mencapai jualan 200,000 unit bagi 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pertumbuhan jualan berterusan pada awal tahun ini didorong perancangan produk yang strategik serta pelaburan dalam teknologi baharu.
“Pada masa sama, prestasi ini turut disokong oleh kekuatan jualan dan perkhidmatan selepas jualan menerusi rangkaian pengedar kami.
“Dalam persekitaran pasaran yang semakin kompetitif, kami komited menawarkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan, di samping memperkukuh imej jenama dan keyakinan pengguna melalui pengalaman pemilikan bertaraf dunia.
“Secara keseluruhan, kami berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 2026,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dengan pelbagai pelancaran dan inisiatif baharu yang dirancang tahun ini serta pada masa hadapan, Proton yakin mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pembeli kereta di Malaysia serta pengeluar peralatan asal (OEM) eksport terkemuka negara.
Dalam pada itu, Jumlah Volum Industri (TIV) bagi jualan kenderaan di Malaysia dianggarkan meningkat 17.7 peratus pada April berbanding bulan sama tahun lalu, namun pertumbuhan tahun ke tarikh lebih sederhana pada kadar 1.8 peratus.
Seiring prestasi mengatasi pertumbuhan pasaran, Proton meningkatkan pegangan pasaran dengan anggaran 26.4 peratus bagi tempoh tahun ke tarikh, manakala bagi April sekitar 25 peratus.
Dari segi model, Proton Saga kekal sebagai penyumbang utama dengan jualan meningkat 50.9 peratus bulan ke bulan kepada 8,207 unit pada April. Ini menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh model berkenaan sebanyak 29,977 unit, naik 42.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, Proton S70 turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan jualan bulanan tertinggi sejak diperkenalkan, dengan 2,377 unit dijual pada April. Secara keseluruhan, jualan tahun ke tarikh model itu mencecah 8,175 unit, meningkat 32.3 peratus.
Segmen utiliti sukan (SUV) turut menunjukkan prestasi kukuh apabila Proton X50 mencatat jualan 2,603 unit pada April, menjadikan jumlah tahun ke tarikh sebanyak 10,174 unit, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris dalam segmennya.
Sementara itu, Proton X90 terus menunjukkan pemulihan dengan jualan meningkat 43 peratus kepada 462 unit, iaitu prestasi terbaik sejak Disember 2023.
Secara keseluruhan, jualan SUV segmen-D tujuh tempat duduk itu meningkat 28.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, sebanyak 3,420 unit kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) telah dijual, mencatat rekod baharu bagi Proton e.MAS dan menjadikan jumlah tahun ke tarikh kepada 11,664 unit bagi empat bulan pertama tahun ini.
Mendahului jualan ialah Proton e.MAS 5, model EV paling popular di Malaysia dengan jualan pada April berjumlah 1,771 unit, menjadikan jumlah tahun ke tarikh sebanyak 8,473 unit, tertinggi dalam industri. – UTUSAN










