ACER Malaysia memperkenalkan barisan monitor gaming (bermain permainan dalam talian) terbaharu, Predator X27U F5 dan Predator X34 X5 yang semestinya ditunggu-tunggu oleh pemain yang mahukan pengalaman permainan lebih menyeluruh dan lancar.
Turut melengkapkan barisan ini ialah siri Nitro KG3 yang lebih mesra bajet tapi masih berprestasi tinggi.
Bagi pemain e-sukan mahupun pemain permainan kompetitif, Predator X27U F5 yang sangat baik.
Monitor diod pemancar cahaya organik (OLED) 25.6 inci ini hadir dengan kadar segar semula sehingga 500Hz dan masa tindak balas ultra pantas 0.03 milisaat (ms) memang sesuai untuk pemain yang perlukan refleks laju.
Menariknya, pengguna boleh tukar antara mod 500Hz (FHD) untuk prestasi maksimum atau WQHD untuk visual lebih tajam.
Selain laju, paparan ini juga tak kedekut dari segi warna, sokong 99 peratus DCI-P3 dan ketepatan warna tinggi, jadi visual nampak lebih hidup.
Tambah pula sokongan AMD FreeSync Premium Pro dan DisplayHDR True Black 500, pengalaman gaming jadi lebih lancar tanpa gangguan visual.
Untuk pengalaman yang lebih sinematik, Predator X34 X5 pula tampil dengan skrin OLED melengkung 34 inci (1800R).
Paparan ultra lebar ini bagi rasa lebih mengasyikkan, seolah-olah kita ‘masuk’ ke dalam permainan tersebut.
Selain itu, dengan kadar segar semula sehingga 240Hz dan masa respons 0.03 ms, ia masih cukup laju untuk game aksi berat.
Dari segi visual, monitor ini memang memukau dengan warna yang tepat (Delta E<1) dan kontras tinggi, menjadikan setiap detail nampak lebih jelas.
Sokongan AMD FreeSync Premium Pro dan NVIDIA G-SYNC juga memastikan gameplay kekal lancar tanpa gangguan.
Untuk pengguna yang nak sesuatu yang lebih mampu milik, siri Nitro KG3 jadi pilihan menarik. Tersedia dalam saiz 23.8 inci dan 27 inci, monitor ini hadir dengan resolusi WQHD, ‘masa tindak balas’ 144Hz dan 1 ms, cukup hebat untuk permainan harian.
Reka bentuknya pun nipis dan minimalis, sesuai untuk setup moden ditambah pula dengan teknologi Acer VisionCare untuk kurangkan keletihan mata, memang sesuai untuk sesi gaming atau kerja yang panjang.
Dari segi ketersediaan, semua model ini sudah boleh didapati melalui pengedar rasmi dan kedai dalam talian Acer.
Malah, Acer turut menawarkan promosi khas untuk pembelian terawal, jadi ini mungkin masa terbaik untuk menaik taraf persediaan permainan anda.
Bagi yang berminat, Predator X27U F5 dijual pada harga RM2,899 dengan harga pengenalan serendah RM2,599 untuk masa terhad.
Setiap pembelian turut disertakan dengan tetikus khas secara percuma.
Sementara itu, Predator X34 X5 ditawarkan pada harga RM3,499 dengan harga istimewa pengenalan serendah RM3,099 bersama beg galas Predator percuma.
Untuk pilihan lebih mampu milik, Acer Nitro KG243YU P1 bermula pada harga RM479 dan RM549 dengan tetikus tanpa wayar percuma sebagai tawaran pengenalan. – UTUSAN










