Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 51% pada suku pertama

Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 51% pada suku pertama

PENDAPATAN pelaburan KWSP melonjak 51 peratus pada suku pertama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, melonjak 51 peratus daripada RM18.31 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu. 

Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan terutamanya daripada turun naik kadar pertukaran asing.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pendapatan suku pertama KWSP yang kukuh mencerminkan keputusan portfolio yang diambil pada awal tahun ini untuk merealisasikan keuntungan berikutan jangkaan bahawa ketidaktentuan pasaran akan berlaku. 

Katanya, pengurus portfolio KWSP mempercepatkan penjanaan pendapatan yang sepatutnya diagihkan sepanjang tahun dan ahli tidak seharusnya menjadikan prestasi suku ini sebagai petunjuk bagi tempoh seterusnya kerana pencapaian sebegini berkemungkinan tidak akan berulang pada suku-suku akan datang. 

Jelasnya, portfolio asas terus diurus untuk pulangan jangka panjang yang mampan dan bukannya pencapaian jangka pendek.

“Persekitaran pada masa hadapan kekal mencabar. Risiko geopolitik yang tinggi, kenaikan harga minyak dan tekanan inflasi yang kembali meningkat mewujudkan cabaran besar kepada pasaran global. 

“Tindakan awal yang diambil membolehkan kami memasuki tempoh ketidaktentuan ini dalam kedudukan yang kukuh. 

“Keutamaan kini adalah pemeliharaan modal dan pelaksanaan pelaburan secara berdisiplin bagi memastikan kecukupan dan kemampanan simpanan persaraan untuk 18 juta ahli kami dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

KWSP berkata, pendapatan ekuiti meningkat sebanyak 88 peratus daripada RM10.80 bilion pada suku pertama 2025 kepada RM20.34 bilion pada suku sama 2026, didorong oleh keuntungan pasaran yang meluas pada awal suku berikutan sentimen pelabur yang semakin baik yang mendorong kenaikan kebanyakan indeks utama. 

Sementara itu, jumlah aset pelaburan mencecah RM1.44 trilion, yang mana 36 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global. 

“Pelaburan antarabangsa menjana RM15.36 bilion, merangkumi 55 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut, sekali gus menekankan kepentingan kepelbagaian geografi dalam meningkatkan pulangan dan mengurus risiko portfolio.

“Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah masing-masing adalah RM22.63 bilion dan RM5.10 bilion,” ujarnya.

Dalam pada itu, jumlah caruman meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM38.01 bilion pada suku tinjauan, berbanding RM33.54 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu. 

Caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM8.83 bilion bagi suku tersebut. Ini menunjukkan penyertaan berterusan ahli dalam simpanan sukarela, disokong oleh platform digital KWSP yang membolehkan caruman dibuat secara mudah dan lancar.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 19.8 peratus kepada 232,305.

KWSP turut merekodkan pertambahan 220,925 ahli baharu sepanjang suku pertama tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan ahli melebihi 18.3 juta.

Jumlah ahli aktif meningkat kepada 10.8 juta dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41, manakala bilangan majikan aktif meningkat kepada 642,609 setakat Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN