PETALING JAYA: Momentum pengambilan pekerja di Malaysia mula perlahan untuk bulan kedua, namun pasaran buruh negara masih stabil, menurut analisis TA Securities.
Firma pembrokeran berkata, kadar pengangguran kukuh pada paras rendah 2.9 peratus setakat Mac 2026 dan jumlah penganggur susut 3.9 peratus tahun ke tahun kepada seramai 509,000 orang.
Katanya, trend itu menunjukkan majikan kini lebih berhati-hati dalam menambah pekerja selepas pertumbuhan buruh kukuh sepanjang tahun lalu, di samping mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global semasa.
“Bagaimanapun, keadaan pasaran pekerjaan negara secara keseluruhannya masih berdaya tahan disokong permintaan tenaga kerja yang stabil untuk sektor utama ekonomi,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, firma mengekalkan ujuran kadar pengangguran sihat iaitu kurang tiga peratus, sekali gus mencerminkan keadaan pasaran buruh yang secara umumnya sebagai stabil.
“Jumlah tenaga buruh naik kepada 17.313 juta orang pada Mac 2026, manakala jumlah guna tenaga bertambah kepada 16.8 juta orang hasil pertumbuhan pekerjaan dalam sektor utama,” katanya.
Tambah TA Securities, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar terutama subsektor penginapan, makanan dan minuman, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
“Prestasi pada bulan tersebut mencerminkan permintaan domestik yang terus kukuh, dengan aktiviti pelancongan dilihat semakin pulih serta trend pendigitalan ekonomi semasa di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, TA Securities berkata, sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian turut mencatat peningkatan pekerjaan disokong aktiviti pelaburan berterusan, projek infrastruktur dan permintaan komoditi yang masih stabil.
Jelasnya, sektor perlombongan dan kuari merekodkan sedikit penurunan susulan sentimen pengambilan pekerja yang lebih berhati-hati akibat ketegangan geopolitik global dan turun naik harga minyak.
Dalam masa sama, TA Securities berkata, kategori pekerja yang bergaji tetap bulanan kekal mendominasi pasaran buruh semasa dengan mewakili 75 peratus daripada jumlah pekerjaan keseluruhan.
“Kami menjangka kadar pengangguran susut kepada 2.8 peratus menjelang akhir 2026 dipacu permintaan domestik, pemulihan pelancongan dan perkembangan pelaburan industri bernilai tinggi.
“Faktor-faktor berkenaan dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi negara secara positif sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN










