PETALING JAYA: MAB Engineering Services (MAB Engineering) menggandakan kapasiti penyelenggaraan pesawatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) menerusi pengoperasian rasmi fasiliti penyelenggaraan rangka pesawat Hangar 4 yang baharu.
Ini berikutan perjanjian pajakan selama 15 tahun dengan Impeccable Vintage Properties Sdn Bhd (IVP), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.
Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan MAB Engineering sebagai penyedia Perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) serantau, sekali gus menyokong pertumbuhan ekosistem penerbangan Malaysia.
Langkah berpindah dari Hangar 1 ke Hangar 4 bukan sekadar penempatan semula operasi, malah merupakan sebahagian daripada pengembangan strategik di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) Malaysia Aviation Group (MAG) yang dilancarkan pada Disember 2025.
Pelan itu memberi tumpuan kepada pembangunan operasi penyelenggaraan yang lebih bersedia untuk masa hadapan, cekap dan berdaya tahan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pengoperasian Hangar 4 menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan kejuruteraan dan penyelenggaraan kumpulan.
“Pengembangan ini bukan sahaja menggandakan kapasiti penyelenggaraan kami di Subang, malah meningkatkan keupayaan untuk memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada syarikat penerbangan di bawah MAG dan pelanggan antarabangsa.
“Dengan permintaan terhadap perkhidmatan MRO berkualiti tinggi yang terus berkembang di rantau ini, Hangar 4 meletakkan kami pada kedudukan lebih kukuh untuk bersaing, menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab penerbangan serantau serta menjana nilai jangka panjang kepada kumpulan dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Kemudahan baharu itu meningkatkan keupayaan MAB Engineering dalam menyokong keperluan penyelenggaraan armada Malaysia Airlines dan Firefly, selain pelanggan MRO pihak ketiga.
Sebanyak 50 peratus kapasiti fasiliti diperuntukkan bagi memenuhi permintaan penyelenggaraan dalaman Malaysia Airlines dan Firefly, manakala baki 50 peratus dikhaskan untuk peluang komersial pihak ketiga.
Sebelum ini, Hangar 1 hanya mampu menempatkan dua barisan penyelenggaraan akibat kekangan struktur.
Dengan Hangar 4, MAB Engineering kini boleh mengendalikan empat barisan penyelenggaraan secara serentak, melibatkan satu barisan pesawat badan lebar (widebody) bagi Airbus A330-200 dan A330-300, satu barisan pesawat badan sempit bagi Boeing 737-800 dan Boeing 737-8, serta dua barisan pesawat turboprop ATR72.
Selain meningkatkan kapasiti, fasiliti baharu itu turut memperbaiki kecekapan operasi menerusi persekitaran kerja yang lebih tersusun, membolehkan perancangan aliran kerja lebih sistematik, fleksibiliti penyelenggaraan bagi pelbagai jenis armada serta penggunaan sumber yang lebih optimum.
Pengembangan ini juga mencerminkan komitmen berterusan MAB Engineering dalam menyediakan persekitaran kerja lebih baik kepada tenaga kerjanya, selari dengan usaha meningkatkan kecemerlangan operasi melalui pembangunan modal insan yang berkeupayaan tinggi.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan MAB Engineering sebagai penyedia perkhidmatan MRO yang diyakini di peringkat tempatan dan antarabangsa, sambil menyokong visi lebih luas MAG untuk memperkukuh daya saing serta kelestarian industri penerbangan Malaysia dalam jangka panjang. – UTUSAN










