PETALING JAYA: BIMB Securities Sdn. Bhd. mengunjurkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia berkembang 3.4 peratus pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran global yang lebih mencabar.
Firma pembrokeran berkata, meskipun pertumbuhan dijangka sederhana berikutan kesan asas selepas aktiviti pembelian awal sebelum ini, keseluruhan output industri negara dijangka kekal stabil.
“Prospek ini turut diperkukuh oleh sentimen sektor pembuatan yang semakin baik, seperti ditunjukkan melalui peningkatan aktiviti jualan dan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) kepada 51.6 pada April berbanding 50.7 pada Mac.
“Peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh aktiviti penyimpanan stok secara berjaga-jaga,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut BIMB Securities, IPI Malaysia berkembang 3.1 peratus tahun ke tahun pada Mac 2026, tidak berubah berbanding Februari, dipacu kekuatan berterusan sektor pembuatan dan peningkatan penjanaan elektrik.
Bagaimanapun, firma berkata, sektor perlombongan terus mencatatkan penguncupan lebih mendalam kepada 6.5 peratus berbanding negatif 2.0 peratus pada Februari susulan penutupan kilang penapisan dan kelemahan berterusan dalam produk petroleum bertapis.
Menurutnya, gangguan bekalan berkaitan ketegangan geopolitik di Asia Barat turut mengehadkan ketersediaan produk dan menyebabkan pengurangan pengeluaran.
“Sektor pembuatan negara kekal berdaya tahan meskipun risiko geopolitik di Asia Barat meningkat.
“Ketahanan ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang berterusan serta prestasi eksport yang stabil, didorong oleh permintaan global yang tinggi terhadap produk berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.
Tambahnya, peralihan global ke arah penggunaan AI dan pendigitalan terus merangsang output sektor pembuatan dan menyokong pertumbuhan IPI pada suku pertama 2026, dengan momentum berkenaan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.
Namun, BIMB Securities mengingatkan bahawa risiko luaran masih ketara, terutama berkaitan kos logistik dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik di Asia Barat.
“Menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), kira-kira 72 peratus pengeluar melaporkan keadaan perniagaan semakin merosot sejak April berikutan peningkatan kos pengangkutan dan logistik.
“Gangguan ini terus memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos operasi, tempahan dan keputusan pelaburan,” katanya.
BIMB Securities berkata, beberapa perkembangan terkini termasuk hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin baik, gencatan senjata bersyarat dan pembukaan semula Selat Hormuz memberi petunjuk tekanan luaran mungkin mula reda. – UTUSAN









