PETALING JAYA: Bursa Malaysia berpotensi mencecah paras 1,760 mata sekiranya momentum dagangan semasa terus kekal positif dan kukuh, menurut penganalisis.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, paras 1,750 pada Jumaat lalu dilihat sebagai rintangan utama pasaran.
Katanya, sekiranya indeks berjaya menembusi paras tersebut dengan volum dagangan yang kukuh, peluang untuk menguji paras 1,760 adalah tinggi.
“Beberapa sektor utama dijangka menjadi pemacu kepada pertumbuhan pasaran saham termasuk sektor pembuatan, teknologi, tenaga dan juga perkhidmatan kewangan yang dilihat terus menerima minat pelabur.
“Bagaimanapun, pasaran masih berdepan beberapa risiko luaran seperti ketidakpastian ekonomi global, perubahan kadar faedah serta sentimen pelabur asing yang boleh mempengaruhi aliran dana masuk dan keluar daripada pasaran tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Barjoyai, pelabur juga perlu memantau data ekonomi utama secara berkala termasuk pertumbuhan ekonomi suku tahunan, kadar inflasi, pengangguran serta pelaburan swasta bagi menilai momentum semasa ekonomi negara.
“Selain itu, eksport utama Malaysia juga perlu diberi perhatian memandangkan perubahan permintaan global mampu memberi kesan berbeza kepada setiap sektor ekonomi tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai menyarankan pelabur mempertimbangkan strategi penyebaran risiko melalui pelaburan berdiversifikasi melibatkan saham, bon dan aset rizab asing mengikut tahap toleransi risiko masing-masing.
Mengulas mengenai permintaan domestik, beliau berkata, kekuatan penggunaan dalam negara menjadi antara faktor utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika ini.
“Pendapatan dan peluang pekerjaan yang stabil membantu meningkatkan perbelanjaan isi rumah. Pada masa sama, akses kepada pembiayaan seperti pinjaman rumah dan automotif turut menyokong aktiviti penggunaan,” katanya.
Barjoyai berkata, pelaburan kerajaan menerusi projek infrastruktur dan pembangunan domestik memainkan peranan penting dalam merangsang aliran perbelanjaan dalam ekonomi.
“Selain itu, kestabilan politik serta keyakinan pengguna dan perniagaan turut membantu mengukuhkan permintaan domestik, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan peruncitan.
“Antara sektor utama yang menyumbang kepada permintaan domestik termasuk penggunaan isi rumah, pembinaan dan hartanah, pelaburan perniagaan serta sektor perkhidmatan seperti kewangan, logistik dan pelancongan domestik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan bahawa peningkatan permintaan domestik yang terlalu kukuh juga boleh memberi tekanan inflasi kepada ekonomi negara.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran saham tempatan dijangka bergerak dalam tren menurun pada minggu depan dengan indeks penanda aras diunjurkan berada dalam lingkungan 1,730 hingga 1,740 mata.
Katanya, ini berikutan sentimen berhati-hati pelabur selepas aktiviti pengambilan untung baru-baru ini.
“Pada penghujung minggu lalu, beberapa kaunter sarung tangan seperti Top Glove, Hartalega dan Kossan menerima sokongan belian yang ketara apabila pelabur kembali mengambil posisi dalam sektor berkenaan.
“Namun begitu, momentum tersebut dilihat tidak berpanjangan apabila kaunter-kaunter terbabit tidak lagi menjadi tumpuan dagangan hari ini susulan tindakan pelabur mengambil keuntungan dalam tempoh singkat selepas kenaikan harga sebelum ini,” katanya.
Bagi minggu ini, pasaran dijangka bergerak dalam keadaan mendatar dengan aktiviti belian lebih bersifat terpilih, khususnya dalam kalangan pelabur runcit yang masih menunggu petunjuk baharu pasaran global dan domestik.
Dalam perkembangan berkaitan, sektor kesihatan yang sebelum ini menjadi perhatian pelabur mula kehilangan momentum selepas kebimbangan mengenai Hantavirus yang dijangka menjadi pandemik seperti Covid-19 dilihat tidak menjadi kenyataan.
“Keadaan itu menyebabkan kaunter berkaitan kesihatan kembali menerima tekanan jualan pada minggu ini dan dijangka terus tertekan sehingga minggu depan apabila sentimen belian dalam sektor tersebut semakin berkurangan,” katanya. – UTUSAN










