Bank Muamalat cipta rekod anjur program literasi kewangan di lokasi tertinggi - Utusan Malaysia

Bank Muamalat cipta rekod anjur program literasi kewangan di lokasi tertinggi

ZURY Rahimee Zainal Abidien bergambar bersama anak-anak yatim pada Program Literasi Kewangan Jom Bijak Wang di Menara Berkembar Petronas di sini semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mencipta rekod baharu menerusi penganjuran program ‘Jom Bijak Wang’ di lokasi tertinggi dalam bangunan pencakar langit di Malaysia.

Program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records itu berlangsung di Menara Berkembar Petronas, Aras 83 pada ketinggian 358 meter, sekali gus menjadikannya pendekatan inovatif dalam penyampaian pendidikan kewangan di peringkat nasional.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimiee Zainal Abiden berkata, pencapaian itu mencerminkan pendekatan progresif bank berkenaan dalam memperluas impak pendidikan kewangan menerusi inovasi dan pengalaman interaktif.

Katanya, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan Bank Muamalat dalam memastikan pendidikan kewangan dapat disampaikan secara kreatif, relevan dan memberi impak kepada komuniti.

“Bank Muamalat komited untuk terus memperkasa komuniti dengan ilmu kewangan yang praktikal demi masa depan lebih mampan.

“Pencapaian ini turut memperkukuh aspirasi Bank Muamalat untuk mewujudkan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’.

“Ia dalam usaha membina masyarakat yang lebih celik kewangan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” katanya semasa Program Literasi Kewangan Altitud Tertinggi dalam Bangunan Pencakar Langit, di sini semalam.

Sementara itu, Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada dua rumah kebajikan iaitu Rumah Aman Children’s Home dan Rumah Kasih Harmoni sebagai sokongan berterusan terhadap kesejahteraan golongan memerlukan.

Zury Rahimiee berkata, pihaknya menghargai peranan Petrosains sebagai pusat sains terkemuka negara yang sekian lama menyumbang dalam memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Hari ini, kami melangkah lebih jauh dengan memperluas impak kepada komuniti yang lebih memerlukan, khususnya adik-adik daripada Rumah Aman Children’s Home dan Rumah Kasih Harmoni.

“Kami percaya perubahan masa hadapan tidak bermula apabila seseorang itu dewasa, sebaliknya melalui pendedahan yang tepat sejak usia muda,” katanya.

Menerusi kerjasama strategik bersama Petrosains, peserta turut dibawa melawat Petrosains, The Discovery Centre bagi memperluas pendedahan dalam bidang STEM, sekali gus menghubungkan literasi kewangan dengan pembangunan ilmu masa hadapan.

Bank Muamalat komited untuk terus memperluas pelaksanaan program pendidikan kewangan menerusi kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan rakan korporat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, literasi kewangan amat penting kepada semua dalam keadaan ekonomi semasa walaupun pertumbuhan negara kekal stabil.

“Disebabkan itu, kami bekerjasama dengan Petrosains Sdn. Bhd. dan beberapa agensi lain untuk menerapkan konsep pembelajaran secara santai dan interaktif supaya lebih menarik minat masyarakat mempelajari ilmu kewangan.

“Ilmu kewangan penting kerana ia mengajar masyarakat untuk kembali kepada asas iaitu berbelanja mengikut keperluan dan bukan kehendak semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN