Aixtron perkukuh P. Pinang sebagai hab semikonduktor serantau - Utusan Malaysia

Aixtron perkukuh P. Pinang sebagai hab semikonduktor serantau

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan hormat delegasi syarikat AIXTRON SE di pejabat Ketua Menteri, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-GAMBAR/PEJABAT KETUA MENTERI PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pelaburan terbaharu oleh syarikat teknologi dari Jerman, Aixtron SE menerusi pembinaan fasiliti pembuatan baharu di Bandar Cassia Technology Park dijangka mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama semikonduktor di rantau ini.

Pelaburan tersebut melibatkan pembangunan fasiliti ‘greenfield’ di tapak seluas 3.44 hektar yang akan menempatkan kompleks bersepadu termasuk bangunan pejabat tiga tingkat kemudahan bilik bersih berteknologi tinggi serta kawasan logistik khusus.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pelaburan berimpak tinggi itu yang dilihat mampu memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta meningkatkan kedudukan negeri dalam rantaian nilai global.

“Pulau Pinang kini sedang melonjak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai global. Justeru, kehadiran pelaburan seperti Aixtron akan membawa limpahan teknologi yang positif kepada ekosistem industri negeri,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi syarikat itu di pejabatnya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Aixtron, Felix Grawert berkata, penubuhan pangkalan pembuatan dan kejuruteraan di Pulau Pinang membuka ruang kerjasama jangka panjang dengan pemain industri tempatan.

Menurutnya, syarikat itu turut berhasrat menyumbang kepada pembangunan ekosistem semikonduktor Malaysia khususnya dalam bidang semikonduktor kompaun yang menyokong kecekapan tenaga dan komunikasi data bagi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Katanya, fasiliti berkenaan direka secara modular bagi membolehkan pengembangan secara berperingkat mengikut permintaan pasaran selain menyokong pengeluaran produk bersaiz 100 milimeter (mm), 150 mm dan 200 mm.

“Untuk fasa pertama, projek tersebut dijangka mewujudkan kira-kira 450 peluang pekerjaan dengan separuh daripadanya melibatkan bidang kejuruteraan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala selebihnya dalam pemasangan dan pembuatan,” katanya.

Tambah beliau, Aixtron turut menyatakan minat untuk bekerjasama dalam pembangunan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Pulau Pinang yang bertujuan memperkukuh keupayaan tempatan serta menyediakan laluan penyetempatan bagi syarikat multinasional.

“Langkah ini dilihat selari dengan amalan kolaboratif syarikat di Eropah serta mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap Pulau Pinang sebagai hab strategik inovasi, pembangunan bakat dan pertumbuhan industri semikonduktor negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN