PENERAJU pasaran teknologi komputer, Acer Malaysia menyemarakkan komuniti gaming tempatan dengan memperkenalkan barisan produk terkini yang direka khusus untuk memberikan kuasa, kepantasan dan fleksibiliti kepada pengguna moden.
Menerusi siri pameran bergerak Predator Kasi Onz, barisan produk itu merangkumi komputer riba Predator Helios Neo 16, desktop Predator Orion 5000 serta monitor berprestasi tinggi bagi memenuhi keperluan kerja dan hiburan dalam satu peranti.
Ketua Perniagaan dan Produk Pengguna, Johnson Seet berkata, pengguna di Malaysia kini mengharapkan peranti yang mampu melakukan lebih daripada satu fungsi, sama ada untuk bekerja, belajar, mahupun penciptaan kandungan.
“Prestasi kini menjadi aspek penting bagi setiap pengguna, bukan lagi terhad kepada golongan profesional sahaja. Kami membawa barisan ini bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat peranti yang boleh diharap untuk tugasan pelbagai.
“Kami mahu menyediakan peluang kepada pengguna untuk merasai sendiri kehebatan produk ini kerana anda perlu mencubanya untuk memahami sejauh mana ciri-ciri tersebut sesuai dengan keperluan harian,” katanya semasa pelancaran produk-produk tersebut, baru-baru ini.
Predator Orion 5000
Model Predator Orion 5000 direka khusus untuk pemain tegar dan pencipta kandungan yang memerlukan prestasi tahap tertinggi dalam kerangka desktop 45 liter yang ikonik.
Pengurus Produk, Shirley Yang berkata, model ini diperkasakan dengan cip pemproses Intel Core Ultra 7 265F dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 yang memberikan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang hebat untuk pemain dan pencipta.
“Menerusi teknologi NVIDIA DLSS 4, peranti ini mampu menjana imej dengan lebih pantas, manakala pemproses Intel Core Ultra pula membantu menguruskan tugasan AI secara berasingan seperti pengoptimuman audio dan penyingkiran latar belakang agar sesi penstriman berjalan lancar.
“Aspek suhu dikawal rapi oleh sistem Predator CycloneX 360 yang dipatenkan. Ia mampu meningkatkan aliran udara sehingga 15 peratus dan mengurangkan suhu papan induk sehingga 9 darjah Celsius bagi memastikan prestasi tidak terjejas walaupun semasa sesi permainan paling intensif,” katanya.
Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi RAM DDR5-6000MHz 32GB untuk kelajuan tinggi, storan SSD 1TB, sokongan Wi-Fi 7, serta sistem audio DTS:X Ultra bagi memastikan setiap butiran bunyi dapat didengar dengan jelas.
Desktop ini turut tampil premium dengan panel kaca terbaja lutsinar yang mematuhi piawaian EMI serta sistem lampu ARGB yang boleh dilaraskan melalui perisian PredatorSense.
Predator Helios Neo 16
Bagi pengguna yang mengutamakan mobiliti tanpa mengorbankan kuasa, Predator Helios Neo 16 hadir sebagai komputer riba gaming peringkat pertengahan yang sangat kompetitif dengan gabungan cip pemproses Intel Core i7 dan GPU NVIDIA GeForce RTX 5070.
Paparan IPS 16 inci dengan resolusi sehingga WQXGA+ dan kadar segar semula 180Hz memberikan visual lancar dan responsif, manakala kipas AeroBlade 3D generasi ke-5 memastikan sistem sentiasa sejuk.
Predator Helios Neo 16 dijual pada harga bermula RM7,299 sehingga RM9,999 mengikut konfigurasi spesifikasi yang dipilih pengguna.
Monitor Predator XB273U X2 dan Nitro PG241Y P1
Melengkapkan ekosistem tersebut, Acer turut memperkenalkan monitor Predator XB273U X2 bersaiz 27 inci yang menawarkan resolusi QHD dengan kadar segar semula sehingga 210Hz dan masa tindak balas 0.5ms untuk pemain kompetitif.
Bagi mereka yang kerap bergerak, Acer Nitro PG241Y P1 merupakan monitor mudah alih 23.8 inci pertama di Malaysia yang menawarkan kadar segar semula 144Hz melalui sambungan kabel USB-C tunggal, sesuai untuk kegunaan pejabat atau disambung pada konsol permainan.
Promosi Pelancaran dan Ganjaran
Sempena pelancaran ini, Acer Malaysia menawarkan promosi istimewa sehingga 28 Mei 2026.
Predator Orion 5000 yang asalnya berharga RM14,999 boleh dimiliki pada harga promosi RM13,499.
Bagi pembelian Predator Helios Neo 16, pembeli layak menerima potongan harga RM200 berserta fon kepala Predator Galea 365 bernilai RM399 dan kredit eWallet Touch ‘n Go sebanyak RM300 secara percuma.
Bagi rangkaian monitor, pembeli Predator XB273U X2 akan menikmati potongan harga tambahan RM100, manakala model Acer Nitro PG241Y P1 ditawarkan pada harga istimewa RM499 berserta pembesar suara Bluetooth Acer secara percuma. – UTUSAN









