Sektor pengangkutan Malaysia kekal kukuh

Sektor pengangkutan Malaysia kekal kukuh

WESPORTS. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pengangkutan Malaysia berada dalam kedudukan lebih kukuh daripada jangkaan dan berupaya mengharungi cabaran semasa, meskipun ketegangan berterusan di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak mentah dan rantaian bekalan global

RHB Research berkata,  tekanan jualan ke atas Westports Holdings Berhad sebagai peluang kemasukan semula bagi pelabur. 

“Operator Pelabuhan Klang itu mempunyai asas perniagaan kukuh dengan unjuran hasil dividen sekitar 4.6 peratus bagi tahun kewangan 2026 serta daya tahan yang baik.

“Hanya kira-kira lima peratus daripada jumlah kontena Westports terdedah secara langsung kepada rantau Asia Barat, manakala perdagangan intra Asia kekal menjadi penyumbang utama sebanyak 62 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam masa sama, firma berkata, terdapat syarikat perkapalan yang cuba mengalihkan kargo ke hab alternatif seperti Westports susulan kekangan di Selat Hormuz. 

“Namun, pengurusan Westports mengambil pendekatan tegas dengan menolak kontena yang destinasi akhirnya tidak jelas bagi mengelakkan kesesakan dan mengekalkan kadar kepadatan dermaga pada paras sihat sekitar 80 peratus,” katanya.

RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan volum kontena Westports pada kadar 4.5 peratus bagi 2026, selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.7 peratus.

“Dari sudut kos operasi, peningkatan harga bahan api kekal menjadi risiko utama. Namun, langkah Westports memperkenalkan 60 trak kenderaan elektrik menjelang suku ketiga 2026 dilihat tepat, dengan potensi mengurangkan penggunaan diesel bagi pengangkutan berat sekitar 10 peratus,” katanya.

Selain itu, Tasco Berhad turut dipilih sebagai antara saham pilihan sektor logistik, disokong oleh pengembangan kapasiti gudang termasuk pembangunan agresif di Shah Alam dan Northport.

Dalam perkembangan ber­kaitan, RHB Research menyatakan kadar tambang penghantaran global telah meningkat sekitar 18 peratus sejak konflik Asia Barat tercetus, khususnya bagi laluan utama seperti Shanghai-Rotterdam dan Shanghai-Los Angeles. 

“Situasi ini berpotensi memberi manfaat kepada pemain logistik kerana kos tambahan lazimnya dipindahkan kepada pelanggan melalui surcaj bahan api.

“Namun begitu, kami memberi amaran bahawa konflik berpanjangan boleh mendorong harga minyak mentah meningkat lebih tinggi, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan domestik. 

“Sekiranya tekanan berterusan sehingga suku ketiga tahun ini, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka menyederhana kepada sekitar empat peratus,” katanya.

Tambahnya, firma menaik taraf sektor berkenaan kepada ‘overweight’ daripada ‘neutral’, didorong oleh lanjutan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran yang sedikit meredakan kebimbangan pasaran global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×