PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pencegahan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti penipuan (scam) di negara ini.
Langkah strategik itu bertujuan menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat, khususnya melibatkan skim pelaburan palsu dan tidak berlesen yang menyalahgunakan platform digital serta teknologi komunikasi.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.
“Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua agensi, SC dan MCMC boleh bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang muncul, selain meningkatkan kesedaran awam terhadap pelaburan tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan bersama.
Majlis pemeteraian MoU tersebut turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memanfaatkan teknologi baharu termasuk penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengesanan, penyiasatan, dan tindakan penguatkuasaan.
Bagi tempoh 2024 hingga 2025, SC dengan bantuan MCMC telah berjaya menyekat atau menggantung sebanyak 328 laman web, 388 akaun Telegram, serta 60 nombor telefon yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti mencurigakan.
Sementara itu, MCMC menegaskan bahawa penyelarasan antara agensi yang kukuh adalah kritikal memandangkan skala dan kecanggihan penipuan dalam talian yang terus berkembang.
Kerjasama itu juga akan memperkukuh perkongsian risikan, mempercepatkan usaha menurunkan kandungan berkaitan penipuan, serta membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih diselaraskan.
Selain aspek penguatkuasaan, orang ramai turut didedahkan dengan inisiatif pendidikan awam bersama mengenai keselamatan digital, keselamatan kewangan, serta panduan pelaburan yang bertanggungjawab bagi memastikan ekosistem digital Malaysia kekal selamat dan dipercayai.
Pemeteraian MoU ini merupakan kesinambungan daripada mesyuarat kerjasama pertama yang diadakan pada Mac 2025, yang telah membuka jalan kepada usaha mitigasi penipuan yang lebih pantas dan berkesan.-UTUSAN










