PETALING JAYA: Petra Energy Bhd. menerima beberapa pesanan kerja daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi perkhidmatan pakej penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta sambungan dan pentauliahan (HUC) luar pesisir Pan Malaysia (pakej C3).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Petra Resources Sdn. Bhd., memperoleh empat pesanan kerja bagi pelaksanaan perkhidmatan HUC untuk Projek Pemulihan Fasiliti Bersepadu Bintulu (BIF) Fasa 2 yang bernilai RM298 juta.
Menurutnya, pesanan kerja tersebut berkuat kuasa pada 1 Disember 2025, 22 Januari 2026 dan 30 Januari 2026.
“Syarikat menjangka kontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tempoh seterusnya sehingga tamat kontrak,” katanya
Petra Energy berkata, antara risiko pelaksanaan termasuk kekangan tenaga kerja mahir, ketersediaan peralatan serta keperluan pematuhan peraturan.
“Bagaimanapun, syarikat yakin risiko berkenaan dapat dikurangkan berdasarkan rekod prestasi serta kepakaran sedia ada dalam melaksanakan kontrak seumpamanya,” jelasnya.
Saham Petra Energy susut 1.5 sen atau 2.13 peratus kepada 69 sen pada rehat tengah hari Jumaat, dengan nilai pasaran kumpulan berjumlah RM222 juta.-UTUSAN










