Pentech meterai perjanjian penajaan jamin dengan PIVB

Pentech meterai perjanjian penajaan jamin dengan PIVB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) perusahaan, Pentech Holdings Bhd. (Pentech) mengorak langkah ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan memeterai perjanjian penajaan jamin bersama Public Investment Bank Bhd. (PIVB).

PIVB akan menaja jamin sejumlah 62 juta saham biasa baharu, merangkumi peruntukan orang awam Malaysia serta pengarah, pekerja dan individu layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pentech, Yeoh Chin Ming berkata, pemeteraian perjanjian bersama PIVB merapatkan jarak perjalanan IPO mereka untuk menjadi entiti senaraian awam.

“Terbitan awam Pentech bakal membabitkan 171.995 juta saham biasa baharu, mewakili 27.74 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan. 

“Syarikat menyasarkan untuk menyenaraikan keseluruhan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 620 juta saham di Pasaran ACE,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PIVB telah dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

“Kami sudah bersedia untuk memanfaatkan peluang pembangunan yang luas dalam industri ICT di Malaysia.

“Sebahagian hasil IPO akan disalurkan untuk menubuhkan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) baharu di Kuala Lumpur mengenai rancangan penggunaan dana.

“Syarikat akan menyewa pejabat seluas 2,800 kaki persegi untuk SOC baharu bagi memantau, mengesan dan menangani insiden keselamatan pelanggan secara masa nyata,” katanya.

Chin Ming berkata, sebahagian dana IPO juga akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur Pusat Perintah Operasi (OCC) dengan perkakasan dan perisian baharu bagi mengukuhkan penyampaian perkhidmatan.

“Dana IPO akan membiayai pengembangan perkhidmatan ICT syarikat termasuk pembangunan aplikasi awan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan penubuhan unit keselamatan siber baharu.

“Baki peruntukan akan digunakan untuk perbelanjaan pemasaran, keperluan modal kerja, serta membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIVB, Lee Yo-Hunn berkata, Pentech adalah pemain industri yang berkhidmat untuk pelbagai pelanggan merentasi perkhidmatan kewangan hingga penjagaan kesihatan.

“Kami percaya bahawa Pentech mempunyai asas yang kukuh dengan pasukan pengurusan berpengalaman yang diketuai oleh  Yeoh Chin Ming.

“Mereka akan mengemudi secara positif landskap ICT yang berkembang pesat dan IPO Pentech yang akan datang akan memberi pelabur peluang pelaburan yang menarik.

“Pentech sebelum ini telah memperoleh kelulusan daripada Bursa Securities untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 19 Januari 2026 yang menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat Kumpulan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN