Pasaran semikonduktor global dijangka cecah AS$1 trilion tahun ini

Pasaran semikonduktor global dijangka cecah AS$1 trilion tahun ini

trump
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran semikonduktor global dijangka mencatat sejarah dengan nilai jualan tahunan mencecah AS$1 trilion pada 2026, dipacu oleh peningkatan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang kian pesat.

Sehubungan itu, Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah SEMICON Asia Tenggara (SEMICON SEA) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 5 hingga 7 Mei depan.

Dianjurkan dengan kerjasama strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), acara bertemakan ‘Transform Tomorrow’ itu bakal menghimpunkan lebih 20,000 inovator dan pakar teknologi global.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, industri semikonduktor kini berada pada titik peralihan dan Malaysia berhasrat untuk menjadi pusat kepada pertumbuhan masa hadapan tersebut.

Beliau menjelaskan, sektor elektrik dan elektronik (E&E) berjaya meraih pelaburan diluluskan sebanyak RM28.5 bilion pada 2025, membuktikan keyakinan pelabur global terhadap ekosistem negara.

“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Malaysia bukan sekadar mengekalkan kedudukan, tetapi secara sengaja membentuk semula rantaian bekalan semikonduktor global.

“Kita sedang bergerak melampaui bidang pemasangan dan pengujian ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi termasuk reka bentuk, pembungkusan termaju dan pembuatan berpacukan inovasi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan CEO SEMI, Ajit Manocha berkata, Malaysia merupakan kuasa besar industri semikonduktor dengan rekod kejayaan selama beberapa dekad.

“SEMICON SEA 2026 akan memberi tumpuan kepada lima bidang utama termasuk pembuatan pintar berpacukan AI, kelestarian tenaga serta pembangunan bakat bagi melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030 selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS),” katanya. 

MIDA turut menerajui beberapa inisiatif khusus sepanjang acara tersebut, termasuk Forum Integrasi Rantaian Bekalan dan Seminar Pembuatan Pintar bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mencapai piawaian pengilang global.

Selain itu, sesi ‘Handshake@SEMICON’ akan mempertemukan pembuat keputusan kanan daripada syarikat teknologi dunia bagi memudah cara peralihan daripada minat pelaburan kepada perkongsian strategik yang nyata.

Acara ini turut mendapat sokongan penaja utama industri termasuk GlobalFoundries, Lam Research, Micron, Tokyo Electron Limited dan Applied Materials. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN