MTT Shipping disenaraikan RM1.08 sesaham

MTT Shipping disenaraikan RM1.08 sesaham

ONG Kean Lee (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian MTT Shipping di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengendali kapal kontena terkemuka, MTT Shipping and Logistics Berhad (MTT) membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Securities Malaysia Berhad pada RM1.08 sesaham, premium lima peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.03.

Jumlah dagangan pembukaan sebanyak 12.9 juta saham mencerminkan minat pelabur yang kukuh serta penerimaan positif pasaran terhadap penyenaraian syarikat itu.

Menerusi IPO tersebut, kumpulan berjaya mengumpul RM652.5 juta daripada penerbitan 633.5 juta saham biasa baharu, sekali gus mengukuhkan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

Pengerusi Eksekutif MTT, Datuk Seri Ong Kean Lee berkata, IPO syarikat mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelabur awam Malaysia apabila mencatatkan kadar lebihan langganan sebanyak 2.7 kali ganda.

“Pencapaian ini membuktikan syarikat bersedia untuk mengukuhkan logistik dan merebut peluang perdagangan domestik serta serantau.

“Majoriti daripada dana yang diraih sebanyak RM624.7 juta akan diperuntukkan untuk perolehan sekurang-kurangnya 12 buah kapal kontena baharu dalam tempoh 36 bulan.

“Pemerolehan ini bertujuan mengukuhkan kapasiti armada bagi menyokong pengembangan perniagaan di laluan perdagangan utama,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, semalam.

Kean Lee berkata, baki dana sebanyak RM27.8 juta akan digunakan bagi membiayai yuran dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian syarikat.

“MTT kini berada di kedudukan yang baik untuk meningkatkan saiz keseluruhan armada syarikat sekurang-kurangnya 46 peratus lagi.

“Pemerolehan ini bertujuan mengukuhkan kapasiti armada bagi menyokong pengembangan perniagaan di laluan utama. 

“Ia juga berperanan sebagai proksi kepada aliran perdagangan Malaysia Timur dan pasaran antarabangsa yang kian meningkat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perniagaan mereka tidak terdedah kepada kesan langsung krisis di Negara Teluk.

“Syarikat meraih manfaat daripada situasi berkenaan berikutan penyusutan kapasiti kapal di pasaran global yang telah melonjakkan kadar sewaan armada. 

“Oleh itu, syarikat menetapkan sasaran bayaran dividen sebanyak 50 peratus untuk memberikan pulangan hasil yang baik.

“Syarikat merekodkan peningkatan lebih 10 peratus bagi sebahagian pembaharuan kontrak sewaan mereka berikutan keadaan pasaran yang ketat pada masa ini,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat kini turut meneroka segmen kapal tangki kimia khusus untuk pengangkutan metanol bagi memenuhi pasaran Malaysia Timur. 

“Langkah strategik ini adalah untuk merebut peluang dalam ruang pasaran yang pada masa ini banyak didominasi oleh kapal-kapal berbendera asing,” katanya.

Kean Lee berkata, perniagaan kontena utama syarikat masih merekodkan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding segmen kapal tangki kimia.

“MTT sedang giat mengatasi masalah kekurangan infrastruktur rantaian sejukdan kemudahan pergudangan di Malaysia Timur.

“Syarikat kini menguasai 46 peratus bahagian pasaran tempatan dan berhasrat untuk mengembangkan jejak operasinya melepasi pasaran Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×