PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Datuk Manoj Kurup sebagai Pengarah Eksekutif, Penguatkuasaan, berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Budiman Lutfi Mohamed yang telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya pada 1 April 2026.
SC berkata, Manoj memulakan kerjaya perundangan beliau pada tahun 1990 dan membawa lebih tiga dekad pengalaman merangkumi bidang kehakiman serta pendakwaan awam.
“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum bersara pada tahun 2024. Sebelum itu, beliau memegang beberapa jawatan di AGC, termasuk sebagai Ketua Bahagian Rayuan.
“Beliau juga merupakan anggota pasukan pendakwaan Malaysia dalam siasatan bersama tragedi Malaysia Airlines MH17 serta pernah menjadi ahli lembaga Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Manoj memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang (Pendakwaan) dari University of Wollongong, Australia dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Polytechnic of Wales (kini University of Glamorgan).
Beliau juga merupakan Barrister-at-Law di Gray’s Inn, London dan memiliki Diploma dalam Mediasi daripada Asian International Arbitration Centre.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, Manoj membawa bersama beliau kepakaran perundangan yang mendalam serta kepimpinan ke SC.
Katanya, pengalaman luas beliau akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan kami dalam memastikan integriti pasaran serta melindungi pelabur.
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Budiman atas khidmat dan sumbangan beliau kepada SC sejak Julai 2022,” katanya.-UTUSAN










