KUALA LUMPUR: Bank Dunia melihat langkah kerajaan mengurangkan kuota penggunaan petrol bersubsidi di bawah BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan adalah tepat dalam usaha mengurangkan beban fiskal negara.
Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata, tindakan itu secara tidak langsung membantu menangani ketirisan subsidi yang selama ini lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
“Subsidi petrol di Malaysia bersifat regresif, di mana kumpulan T10 dan T20 menggunakan lebih banyak bahan api berbanding kumpulan berpendapatan rendah.
“Jadi, pengurangan kuota ini memastikan mereka yang menggunakan lebih akan membayar lebih. Pendekatan ini lebih bersasar berbanding menaikkan harga petrol secara menyeluruh, yang berpotensi memberi kesan negatif kepada keseluruhan ekonomi,” katanya dalam pembentangan Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 di Sasana Kijang di sini hari ini.
Menurut Apurva, keadaan ini telah dilihat berlaku di beberapa negara serantau seperti Thailand dan Filipina apabila harga bahan api meningkat secara mendadak.
“Buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan harga petrol RON95 sekitar RM1.99 seliter bagi majoriti rakyat, sambil mengawal penggunaan melalui kuota.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha menyeimbangkan antara perlindungan pengguna dan kestabilan fiskal. Namun begitu, persoalan utama adalah sejauh mana kerajaan mampu mengekalkan pendekatan ini dalam jangka panjang.
“Sekiranya tekanan fiskal meningkat, beberapa pelarasan mungkin perlu dilakukan, termasuk pengurangan kuota selanjutnya atau kenaikan harga bahan api secara berperingkat,” katanya.
Dari sudut fiskal, jelasnya, defisit negara telah berjaya dikurangkan kepada sekitar 3.6 peratus berbanding melebihi enam peratus semasa krisis terdahulu.
“Penambahbaikan ini sebahagiannya disumbang oleh peningkatan hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Walau bagaimanapun, kebergantungan kepada hasil berkaitan komoditi dan SST sahaja bukanlah strategi mampan untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










