Interaksi aplikasi pemesejan di Malaysia melonjak 240 peratus

Interaksi aplikasi pemesejan di Malaysia melonjak 240 peratus

ANTE PAMUKOVIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kini mendahului banyak penanda aras global dalam peralihan ke arah perdagangan perbualan apabila mencatatkan lonjakan sebanyak 240 peratus dalam interaksi aplikasi pemesejan mudah alih sepanjang tahun lalu.

Dapatan itu didedahkan dalam Laporan Trend Pemesejan 2026 oleh platform komunikasi awan AI, Infobip, yang menganalisis 628 bilion interaksi mudah alih sepanjang tahun 2025.

Naib Presiden Pengurus Besar APAC Eurasia di Infobip, Ruslana Reznikova berkata, peningkatan mendadak itu menunjukkan trend jelas di mana pengguna di Malaysia lebih gemar berinteraksi dengan jenama di platform yang sama yang digunakan untuk berkomunikasi dengan rakan dan keluarga.

“Melangkah ke era kecerdasan buatan (AI) berasaskan ejen atau ‘agentic AI’, matlamat perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik (APAC) adalah untuk beralih daripada sekadar pemberitahuan ringkas kepada perbualan dua hala yang lebih bermakna.

“Langkah ini penting bagi memacu kesetiaan pelanggan serta hasil perniagaan yang boleh diukur,” katanya dalam kenyataan.

Data khusus bagi pasaran Malaysia turut menunjukkan peningkatan 40 peratus dalam interaksi WhatsApp, manakala trafik perkhidmatan suara dan video meningkat 38 peratus, mencerminkan permintaan tinggi terhadap komunikasi yang lebih peribadi dan berkualiti.

Selain itu, interaksi melalui saluran Viber mencatatkan pertumbuhan 107 peratus, diikuti emel (20 peratus) dan jumlah keseluruhan interaksi platform yang naik 17 peratus.

Laporan tersebut turut menyerlahkan kebangkitan agentic AI yang membolehkan ejen AI melakukan interaksi autonomi dan mengatur perjalanan pelanggan yang kompleks melangkaui fungsi bot sembang ringkas.

Di peringkat global, komunikasi saluran tunggal dilihat semakin ketinggalan zaman apabila hanya merangkumi 2.3 peratus daripada trafik platform menjelang 2025, berbanding 73 peratus sedekad yang lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Hasil di Infobip, Ante Pamuković berkata, masa depan komunikasi perniagaan kini berteraskan ekosistem pelbagai saluran atau omnisaluran yang merangkumi WhatsApp, RCS, e-mel dan suara.

“Era pemberitahuan ringkas sudah berakhir. Kami kini beralih ke arah ekosistem di mana jenama mengatur perbualan yang lebih lancar dan dikuasakan oleh AI untuk bertemu pelanggan di saluran yang tepat pada masa yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN