Gangguan bekalan global sokong prestasi Petronas Chemicals

Gangguan bekalan global sokong prestasi Petronas Chemicals, untung diunjur RM2.2b

CGSI menjangkakan pergerakan harga saham Petronas Chemicals masih dipengaruhi sentimen luaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Unjuran keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Berhad yang dijangka mencecah sekurang-kurangnya RM2.2 bilion bagi tahun kewangan 2026 kini menjadi tumpuan utama pasaran, disokong prospek harga produk petrokimia yang kekal tinggi.

CGS International (CGSI) berkata, jangkaan positif itu dipacu oleh harga jualan pelbagai produk petrokimia yang diramal berlegar pada paras tinggi untuk tempoh lebih panjang daripada jangkaan awal.

Firma penyelidikan berkata, keadaan tersebut turut didorong oleh gangguan bekalan global susulan konflik di Asia Barat yang meningkatkan harga produk olefin dan derivatif (O&D), selain baja dan metanol (F&M) melepasi unjuran sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap Petronas Chemicals dengan harga sasaran RM6.58, berasaskan gandaan 1.4 kali harga kepada nilai buku (P/BV) bagi unjuran akhir 2026,” katanya dalam nota penyelidikan. 

CGSI berkata,  harga urea kini sekitar AS$950 (RM3,772) satu tan, meningkat ketara berbanding sekitar AS$500 (RM1,985) sebelum konflik, manakala harga metanol melonjak kepada AS$672 (RM2,668) satu tan.

“Lonjakan tersebut mencerminkan kekangan bekalan berterusan susulan kerosakan fasiliti gas dan petrokimia di beberapa negara pengeluar utama seperti Iran, Qatar dan Arab Saudi,” katanya. 

Dalam pada itu, harga polietilena bagi pengeluar di Asia Tenggara dilaporkan melebihi AS$1,500 (RM5,957) satu tan, jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$900 (RM3,574) sebelum tercetusnya konflik.

“Segmen baja dan metanol dilihat menawarkan potensi pulangan paling mampan dalam jangka panjang, memandangkan gangguan bekalan global dijangka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” jelasnya.

Walaupun asas perniagaan Petronas Chemicals kekal kukuh, CGSI menjangkakan pergerakan harga saham syarikat itu masih dipengaruhi sentimen luaran, termasuk kemungkinan penamatan konflik yang boleh mencetuskan tekanan jualan.

Saham kumpulan itu sebelum ini melonjak lebih dua kali ganda daripada sekitar RM3 pada akhir Februari kepada RM6.13 pada akhir Mac, sebelum menyusut susulan perkembangan gencatan senjata.

Bagaimanapun, saham berkenaan kembali pulih apabila ketegangan di Selat Hormuz meningkat semula, berikutan potensi konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.

CGSI menambah, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk persaingan eksport dari China, tekanan pembeli terhadap harga tinggi serta peningkatan kos logistik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini