Elmina Business Park 2 perkukuh ekosistem Lembah Klang Utara

Elmina Business Park 2 perkukuh ekosistem Lembah Klang Utara

ELMINA Business Park 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor hartanah industri menerusi pelancaran Elmina Business Park 2, projek terbaharu yang menjadi sebahagian daripada strategi pengembangan syarikat di Lembah Klang Utara.

Dilancarkan pada Januari 2026, pembangunan ini menyusul kejayaan Elmina Business Park dan menandakan kemasukan Sime Darby Property ke pasaran industri Rawang yang semakin pesat berkembang. 

Fasa awal projek, melibatkan Fasa 1A dan 1B, menawarkan 19 lot tanah industri pegangan bebas dan telah mencatatkan kadar pengambilan sekitar 70 peratus mencerminkan permintaan kukuh dalam segmen tersebut.

Sime Darby Property berkata, dengan keluasan keseluruhan 242.8 hektar dan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.72 bilion, Elmina Business Park 2 merangkumi 72 unit kilang berkembar serta lot industri bersaiz 0.8 hektar kepada 1.61 hektar.

“Projek ini turut menyediakan pilihan pembangunan fleksibel seperti bina ikut keperluan dan bina untuk disewa bagi memenuhi keperluan pelbagai jenis perniagaan.

“Kedudukan strategik dalam Koridor Guthrie yang semakin matang menjadikan pembangunan ini antara lokasi industri premium yang semakin terhad bekalannya. 

“Akses terus melalui persimpangan Lagong serta sambungan ke Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) meningkatkan daya tarikan projek ini dari segi logistik dan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, kelebihan sambungan pelbagai mod pengangkutan termasuk Stesen KTM Kuang, cadangan dua stesen Projek East Coast Rail Link (ECRL) di Serendah dan Puncak Alam serta jarak relatif dekat ke Lapangan Terbang Subang, mengukuhkan lagi potensi Elmina Business Park 2 sebagai hab industri bersepadu.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, pembangunan ini direka untuk menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang dengan menekankan kecekapan operasi serta kesejahteraan tenaga kerja.

“Elmina Business Park 2 menawarkan standard pembangunan bertaraf dunia dengan kelebihan pegangan bebas di koridor pertumbuhan tinggi. Unit yang terhad ini memberi peluang strategik kepada syarikat untuk memperkukuh operasi mereka dalam persekitaran industri yang mampan,” katanya.

Sebagai rekod, Elmina Business Park yang dibangunkan di kawasan seluas 607.02 hektar merupakan taman perniagaan industri pegangan bebas terbesar di Lembah Klang. 

Antara pencapaian utama termasuk kadar pengambilan penuh bagi The Signature Collection Twin Factories serta pemilihan lokasi tersebut oleh Google untuk pembangunan pusat data hiperskala pertamanya di Malaysia, yang dijangka siap pada suku kedua 2026.

Perkembangan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap prospek sektor industri Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang Utara yang kini muncul sebagai koridor pertumbuhan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN