PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan langkah-langkah bantuan yang disasarkan termasuk pelepasan pembayaran sehingga enam bulan ke atas pembiayaan, bagi menyokong pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas oleh ketidakpastian geopolitik di Asia Barat.
Langkah-langkah tersebut direka untuk mengurangkan tekanan kewangan segera, menyokong kesinambungan aliran tunai dan memperkukuh daya tahan pelanggan dalam tempoh ketidakpastian yang semakin meningkat ini.
Ini termasuk bantuan yang disesuaikan untuk pelanggan individu dan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengambil kira keadaan kewangan khusus mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, dalam ketidakpastian global yang semakin meningkat, adalah penting untuk terus menyokong ekonomi dan memastikan pelanggan kekal berdaya tahan.
“CIMB komited untuk berdiri di sisi pelanggan kami ketika mereka mengharungi cabaran yang sentiasa berubah, memastikan sokongan kewangan kekal tersedia.
“Langkah-langkah ini bertujuan untuk menyediakan sokongan yang tepat pada masanya dan praktikal bagi membantu pelanggan menguruskan komitmen kewangan mereka dan mengekalkan kesinambungan perniagaan dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pelanggan yang layak boleh mendapat manfaat daripada pelepasan pembayaran sehingga enam bulan ke atas kemudahan pinjaman dan pembiayaan.
“Dalam pada itu, pelanggan perniagaan boleh mengakses penyelesaian penstrukturan semula dan penjadualan semula (R&R) yang disesuaikan untuk mengurus kewajipan pembayaran balik dengan lebih baik dan mengekalkan operasi.
“Pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan boleh memohon melalui borang Program Bantuan Pembayaran yang terdapat di laman web CIMB, menghubungi pengurus perhubungan mereka atau mengunjungi mana-mana cawangan CIMB di seluruh negara,” ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai perkara ini boleh didapati di https://www.cimb.com.my/en/personal/help-support/relief-assistance/relief-and-support.html. – UTUSAN










