PETALING JAYA: Lebih 60 peratus wanita di Malaysia mengakui beban dwi penjagaan iaitu menjaga anak-anak dan ibu bapa yang uzur secara serentak, telah menjejaskan kemajuan kerjaya serta keupayaan mereka untuk menjaga kesihatan diri sendiri.
Dapatan terbaharu daripada tinjauan Sun Life bertajuk ‘Women’s Wealth in Focus’ mendedahkan golongan wanita kini berdepan dengan ‘penalti tiga kali ganda’ yang menggugat keselamatan kewangan (80 peratus), penjagaan diri (68 peratus) dan kenaikan pangkat (66 peratus).
Ketua Pegawai Operasi Sun Life Malaysia, Irina Lim berkata, tekanan tersebut bukan sahaja memberi kesan jangka pendek tetapi berisiko menjejaskan keselamatan kewangan jangka panjang wanita.
“Tinjauan kami menunjukkan ramai wanita Malaysia memikul beban penjagaan berganda sambil menguruskan kewangan isi rumah. Tekanan ini boleh menjejaskan kesihatan, kerjaya dan keselamatan masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Kajian itu turut mendedahkan trend menarik di mana 52 peratus wanita kini bertindak sebagai ‘Ketua Pegawai Kewangan’ (CFO) isi rumah dengan mempunyai kuasa mutlak dalam keputusan kewangan besar keluarga, manakala 44 peratus lagi bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan perbelanjaan harian.
Bagaimanapun, di sebalik tanggungjawab besar itu, persediaan untuk hari tua masih di tahap membimbangkan apabila 90 peratus responden menjangka akan menyara ibu bapa yang menua, namun hanya 19 peratus yang menyisihkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk tujuan tersebut.
Dalam pada itu, enam daripada 10 wanita sanggup mengetepikan rawatan perubatan diri sendiri demi mengutamakan sokongan kesihatan untuk anak-anak atau saudara yang lebih tua.
Kajian itu juga mendapati kos penjagaan kesihatan yang tinggi kekal menjadi penghalang utama kepada keselamatan kewangan wanita untuk tahun kedua berturut-turut.
Mengulas lanjut, Irina berkata, walaupun 59 peratus wanita merasakan mereka lebih stabil dari segi kewangan berbanding ibu mereka pada usia yang sama, tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan masih rendah dengan hanya lapan peratus sahaja yang mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding kewangan profesional.
“Kami mahu memudahkan wanita dan keluarga untuk merancang lebih awal dengan perlindungan yang betul dan panduan praktikal supaya mereka kekal berdaya tahan dan membina masa depan yang lebih selamat,” katanya. – UTUSAN










