PETALING JAYA: Agrobank melaksanakan pelaksanaan kaedah kerja fleksibel bekerja dari rumah (BDR) serta bekerja berhampiran rumah (BBR), sebagai langkah proaktif dalam mendepani cabaran susulan ketidaktentuan tenaga global.
Bank itu berkata, seiring dengan usaha tersebut, Agrobank akan melaksanakan kaedah kerja fleksibel secara berperingkat bermula Mei 2026, selaras dengan garis panduan dalaman yang ditetapkan.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Agrobank akan mengoptimumkan rangkaian sebanyak 219 rangkaian di seluruh negara dengan mengenal pasti beberapa lokasi sebagai cawangan satelit bagi menyokong pelaksanaan kaedah kerja fleksibel.
“Melalui pendekatan ini, warga kerja diberi fleksibiliti untuk memilih lokasi kerja yang lebih berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.
“Ini termasuk melalui pelaksanaan konsep Bekerja Berhampiran Rumah (BBR) secara penggiliran, tanpa menjejaskan kesinambungan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyokong pelaksanaan itu, Agrobank akan menyediakan kemudahan dan kelengkapan kerja yang bersesuaian di cawangan-cawangan terpilih bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan produktif.
“Langkah ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong usaha kerajaan mengoptimumkan penggunaan tenaga serta mengurangkan impak kos kepada rakyat dan organisasi.
“Ini di samping memperkukuh amalan kerja yang lebih fleksibel, mampan dan berdaya tahan.
“Agrobank akan terus memantau dan menilai pelaksanaan ini dari semasa ke semasa, selaras dengan perkembangan semasa serta keperluan operasi bank,” jelasnya. -UTUSAN










