PETALING JAYA: Vendfun Sdn. Bhd., penyedia penyelesaian hospitaliti melantik PT Murni Solusindo Nusantara yang beribu pejabat di Jakarta sebagai pengedar induk eksklusifnya bagi Indonesia, lantas menandakan peluasan pasaran terbesar Vendfun setakat ini.
Di bawah kerjasama ini, PT Murni akan menyelia pengedaran penyelesaian Vendfun di seluruh pasaran Indonesia, termasuk juga pemasaran, promosi, pameran, pencarian prospek jualan, penutupan jualan, pemasangan dan sokongan teknikal.
PT Murni juga akan mengurus keseluruhan rangkaian pengedaran Vendfun di Indonesia serta menerajui program penjual semula bagi memperluas capaian pasaran di negara tersebut.
Ketua Pegawai Strategi Vendfun, Daryl Lau berkata, penyelesaian kiosk mereka di Indonesia didorong oleh dua cabaran utama pengusaha hotel, iaitu peningkatan kos tenaga kerja dan peningkatan kes penipuan di kaunter hadapan.
“Selain itu, dengan peningkatan kes penyamaran tetamu dan penipuan kad kredit, proses daftar masuk secara manual kekal sangat terdedah.
“Dengan kos yang terus meningkat, kami menjangkakan permintaan terhadap penyelesaian automasi akan menjadi lebih kukuh di Indonesia. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PT Murni untuk menangani cabaran ini,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian pengedaran ini telah ditandatangani oleh Daryl bersama Pengarah PT Murni, Anton Ng pada 10 Mac 2026 di pejabat PT Murni di Jakarta, dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vendfun, Benny Wee.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada sektor hospitaliti Indonesia, dengan Vendfun memperkenalkan penyelesaian Smart Mini Kiosk (Mini S dan Mini S Pro) untuk mengautomasi proses daftar masuk dan daftar keluar hotel bajet dan butik, unit Airbnb serta hostel.
Sementara itu, Anton berkata, pihaknya teruja untuk membawa penyelesaian kiosk daftar masuk kendiri Vendfun ke pasaran Indonesia.
“Permintaan terhadap penyelesaian hospitaliti automatik adalah nyata dan semakin meningkat, dan teknologi Vendfun secara langsung menangani cabaran yang dihadapi oleh hotel hari ini.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Vendfun untuk menjadikan daftar masuk layan diri sebagai standard baharu bagi hotel bajet dan butik di seluruh Indonesia,” jelasnya.
Vendfun sudahpun mempunyai dua pelanggan hotel di Indonesia dan pelanggan-pelanggan ini akan dipindahkan kepada PT Murni untuk sokongan dan penyelenggaraan berterusan, selaras dengan kerjasama baharu ini.
Ditubuhkan untuk menyokong transformasi digital industri hospitaliti, Vendfun telah memasang lebih daripada 150 kiosk di 12 negeri di Malaysia serta di Singapura, Australia, dan Amerika Syarikat (AS)
Pelantikan PT Murni ini merupakan peluasan serantau paling signifikan syarikat setakat ini dan merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas Vendfun untuk memperkukuh kehadirannya di Asia Tenggara. – UTUSAN











