Ustaz Nazrey kembali dengan interpretasi baharu Iman Mutiara

Ustaz Nazrey kembali dengan interpretasi baharu Iman Mutiara untuk filem jenama MBSB

FILEM jenama MBSB, Iman Mutiara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan Raihan, Ustaz Nazrey Johani kembali meminjamkan suaranya selepas 30 tahun untuk interpretasi baharu lagu Iman Mutiara yang digubah oleh Kautsar Matsin bagi filem jenama MBSB Berhad yang berjudul Iman Mutiara.

MBSB berkata, rakaman semula lagu ikonik yang diperkenalkan pada 1996 dan dipopularkan oleh Raihan itu hadir tiga dekad selepas ia mula terpahat dalam jiwa masyarakat Malaysia. 

Katanya, dikenali dengan mesej keimanan yang teguh dan tulus, Iman Mutiara pernah bergema di rumah, bilik darjah dan menjadi halwa telinga dalam detik-detik refleksi ramai pendengar.

“Filem ini dibintangi oleh Bront Palarae dan Datuk Rahim Razali, yang memainkan watak seorang bapa merentasi pelbagai musim kehidupan.

“Naratifnya berpusat pada hubungan antara seorang bapa dan anak, dengan dialog menyentuh hati yang jarang diungkapkan secara terbuka,” katanya dalam kenyataan.

“Jujurnya, bila kau lahir… Ayah tak rasa bersedia,” antara pengakuan yang menjadi tunjang emosi penceritaan, menggambarkan realiti yang difahami ramai bapa bahawa kesediaan tidak pernah benar-benar terjamin, namun tanggungjawab tetap digalas.

Seiring perkembangan cerita, mesej utama diperkukuh melalui baris bermakna seperti “Hidup bukan tentang apa yang dikumpulkan, tetapi amalan yang ditinggalkan,”.

Tambah MSBS, dalam suasana dunia moden yang sering mengukur kejayaan melalui pencapaian material dan penanda aras luaran, peringatan itu menegaskan bahawa legasi sebenar terletak pada integriti, amalan dan keimanan yang diterjemahkan melalui tindakan.

Menurut Nazrey, perjalanan Iman Mutiara sentiasa melangkaui melodi semata-mata dan lagu tersebut terus hidup dalam membimbing pendengar merentasi pelbagai peringkat usia dan pengalaman hidup.

Dalam versi terbaharu ini, nilai-nilai tersebut diterjemahkan melalui konsistensi seorang ayah melalui disiplin, doa dan kehadiran yang berterusan, meskipun usia semakin lanjut dan langkah kian perlahan. 

Baris penutupnya, “Iman memang tidak diwarisi. Namun dengan doa dan izin Ilahi, ia diteladani,” memperkukuh mesej bahawa keimanan tidak hadir secara automatik, sebaliknya dibentuk melalui contoh dan teladan.

MBSB berkata, kembalinya lagu ini turut menyentuh dimensi merentas generasi.

“Mereka yang membesar dengan alunan Raihan kini memegang peranan sebagai ibu bapa, membesarkan anak-anak dalam dunia yang berbeza, namun masih berpegang pada asas nilai yang sama.

“Filem penuh Iman Mutiara kini boleh ditonton menerusi platform rasmi MBSB,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN