Untung bersih Petronas Chemicals dijangka melonjak ke RM1.5 bilion berikutan konflik Asia Barat

Untung bersih Petronas Chemicals dijangka melonjak ke RM1.5 bilion berikutan konflik Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group (PCG) dijangka mencatatkan lonjakan keuntungan luar biasa bagi tahun kewangan 2026, dipacu oleh kenaikan mendadak harga produk petrokimia global susulan ketegangan geopolitik di Iran.

CGSI Research dalam nota kajiannya berkata, firma meningkatkan unjuran keuntungan bersih teras PCG bagi tahun berakhir 2026 kepada RM1.5 bilion, berbanding anggaran awal hanya RM143 juta, mencerminkan fasa “super cycle” yang sedang dialami industri tersebut.

Kenaikan harga pasaran bagi produk utama seperti urea, metanol dan polyethylene (PE) dilaporkan berlaku selepas gangguan bekalan global akibat konflik yang tercetus pada akhir Februari lalu.

“Harga urea meningkat sebanyak AS$250 se tan manakala metanol naik AS$175 se tan, melepasi jangkaan awal kami. Malah bagi produk PE, sesetengah pembeli sanggup membayar sehingga AS$500 se tan, iaitu dua kali ganda daripada anggaran sebelumnya,” kata firma penyelidikan itu.

CGSI turut mengunjurkan harga bagi Divisyen Baja dan Metanol (F&M) akan meningkat purata 25 peratus, manakala Divisyen Olefin dan Produk (O&D) pula dijangka mencatat kenaikan harga sekitar 15 peratus tahun ini.

Susulan prospek cerah tersebut, CGSI mengekalkan saranan ‘Tambah’ terhadap saham PCG dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM5.54 berbanding RM4.45 sebelum ini.

Walau bagaimanapun, firma itu memberi amaran bahawa lonjakan keuntungan ini mungkin bersifat sementara dengan jangkaan pasaran kembali normal dalam tempoh enam bulan. 

Keuntungan bagi tahun berakhir 2027 dan 2028 diramal menurun masing-masing kepada RM368 juta dan RM44 juta.

“Terdapat risiko penurunan harga sekiranya Selat Hormuz dibuka semula, yang akan meningkatkan bekalan petrokimia global dan menurunkan harga jualan secara mendadak,” tambahnya.

Dari segi operasi domestik, kebimbangan mengenai kekurangan bekalan gas dianggap rendah memandangkan Malaysia turut mengimport gas asli dari Australia dan Kanada yang tidak terjejas oleh konflik berkenaan.

Setakat ini, saham PCG didagangkan sekitar RM4.14, memberikan potensi kenaikan sebanyak 33.8 peratus kepada pelabur berdasarkan harga sasaran baharu yang ditetapkan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN